Tuesday June 7, 2016
10:42 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

7 JUN — Kenyataan yang dikeluarkan oleh calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Izat Bukhary Ismail Bukhary baru-baru ini benar-benar mengecewakan. Kenyataan beliau bahawa wanita tidak sesuai menjadi pemimpin adalah salah sama sekali.

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) ingin menegaskan di sini bahawa setiap wanita adalah pemimpin dan mampu mengubah negara ke arah yang inklusif, demokratik dan yang menghormati kepelbagaian masyarakat. 

Terdapat ramai pemimpim wanita, bukan setakat dalam sejarah dunia dan sejarah Islam, tetapi juga zaman sekarang. Seramai 800,000 dari jumlah penduduk di Malaysia adalah wanita yang memegang gelaran sebagai ketua keluarga. 

Lebih-lebih lagi, Malaysia telah meraktifikasi Konvensyen tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) pada tahun 1995 dan ini bermakna Malaysia sudah membuat komitmen dan mempunyai tanggungjawab untuk menentukan kesaksamaan dan penyertaan wanita dalam segala bidang terutamanya sebagai pembuat keputusan.

Menurut laporan Matlamat Pembangunan Millenium (MDGs) yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah kelolaan Pejabat Perdana Menteri, keterlibatan wanita dalam politik sehingga 2015 telah meningkat walaupun masih tidak memberangsangkan. 

Sejumlah 23 daripada 222 kerusi Parlimen adalah wanita semasa Pilhanraya ke-13, bagi Dewan Negara pula seramai 17 daripada 66 kerusi adalah wanita dan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri pula seramai 64 daripada 576.

Manakala keterlibatan wanita dalam sektor penjawat awam juga telah meningkat, pada 2015 sahaja sehingga 723,848 penjawat awam adalah wanita berbanding lelaki seramai 542,910. Ini jelas memperlihatkan kepada kita bahawa wanita juga mampu menjadi pemimpin dan telah banyak menyumbang kepada ekonomi dan politik negara.

Keterlibatan wanita masih kurang memberangsangkan kerana beberapa faktor yang ada seperti kekurangan peluang yang disediakan dan kekurangan sokongan dari kalangan keluarga dan masyarakat, serta dari segi sumber kewangan. Tambah lagi, stereotaip gender dan patriaki masih menebal di Malaysia. 

Selagi penyertaan wanita dihalang dalam bidang politik dan dalam pembetukkan dasar dan program pembangunan negara, selagi itu Malaysia akan terkebelakang dalam pembangunannya seperti yang diiktirafkan oleh ramai pakar pembangunan dan ahli akademik seperti UNDP, Bank Dunia dan selanjutnya.

Empower ingin menggalakkan semua pihak supaya terus berusaha dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mendorong dan memastikan penyertaan wanita dalam politik dan sistem demokrasi negara.

*Janarthani Arumugam merupakan presiden Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline