Friday October 20, 2017
6:19 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

20 OKTOBER ― Saya mengambil maklum tentang isu lebih 500 bekas pekerja Megasteel Sdn Bhd yang ditawarkan pampasan hanya 25 peratus daripada apa yang dijanjikan kepada mereka selepas diberhentikan serta merta pada April tahun lalu (2016).

Selepas hanya diberi notis pemberhentian 24 jam secara mengejut tahun lepas dan lebih setahun menunggu sehingga hari ini, mereka berhak menerima pampasan penuh daripada bekas majikan mereka.

Menurut Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Logam, jumlah pampasan yang patut dibuat melibatkan kos berjumlah RM10 juta di mana secara purata pekerja yang diberhentikan sepatutnya menerima RM30,000 ke RM40,000 seorang bergantung kepada tempoh perkhidmatan mereka bersama syarikat.

Menawarkan hanya 25 peratus daripada jumlah pampasan kepada bekas-bekas pekerja tersebut menunjukkan bahawa Megasteel tidak mengambil berat tentang kebajikan pekerja.

Sebelum pasaran logam domestik terkesan dengan lambakan logam dari China yang bermula beberapa tahun kebelakangan ini, Megasteel Sdn Bhd mencatat keuntungan hampir setiap tahun. 

Tidak wajar mereka mungkir janji untuk membayar pampasan penuh kepada bekas-bekas pekerja mereka.

Saya menggesa Megasteel Sdn Bhd membayar pampasan penuh kepada bekas-bekas pekerja secepat yang mungkin kerana mereka mempunyai tanggungan dan keluarga masing-masing apatah lagi sesi persekolahan baru yang menjelang tiba.

Sehubungan dengan itu, saya menyokong keputusan kerajaan memperkenalkan Skim Insurans Pekerjaan yang akan membantu mereka yang hilang pekerjaan untuk mendapat bantuan kewangan sementara mereka mencari pekerjaan baru.

Walaupun skim ini mendapat tentangan sesetengah pihak terutamanya pihak majikan, saya berharap kerajaan akan bertegas dan tidak akan menangguhkan lagi Rang Undang Undang Skim Insurans Pekerjaan (2017) yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan datang demi membela nasib pekerja yang diberhentikan.

Isu pekerja tidak mendapat pampasan seperti bekas pekerja Megasteel Sdn Bhd tidak sepatutnya berulang dan dengan Skim Insurans Pekerjaan yang bakal diperkenalkan, sekurang-kurangnya pekerja tidak akan ditinggalkan terkontang-kanting tanpa sokongan jaringan keselamatan sekiranya syarikat di mana mereka bekerja ditimpa kerugian sehingga terpaksa menamatkan operasi.

* Shahril Hamdan adalah exco Pemuda Umno dan pengerusi biro Profesional Muda Umno.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Artikel-artikel berkaitan

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline