Wednesday February 1, 2017
7:48 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

1 FEBRUARI — Ketika laporan media arus perdana sedang rancak menggoreng isu kempen #bebasplastik yang telah dilancarkan oleh kerajaan negeri Selangor pada awal tahun ini, di Johor juga terdapat kempen sedemikian yang telah diusahakan oleh rangkaian restoran makanan segera dan turut mengenakan caj 20 sen bagi setiap helaian beg plastik yang dimahukan pelanggan.

Malahan pada hemat saya, di Johor sendiri usaha sedemikian bukanlah yang pertama kerana terdapat juga pasaraya yang tampil dengan kempen seumpamanya dan turut mengenakan caj 20 sen bagi setiap helaian beg plastik yang dimahukan pelanggan.

Seperti kempen #bebasplastik di Selangor, usaha yang dikemudi oleh pihak yang berkenaan di Johor dilihat sebagai membantu kerajaan negeri Johor melaksanakan larangan penggunaan beg plastik bermula pada tahun hadapan.

Usaha pihak swasta seperti ini membantu kerajaan negeri membentuk kesedaran dan memberi didikan awal kepada masyarakat umum untuk tidak lagi bergantung kepada penggunaan beg plastik.

Memetik kenyataan daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp yang mengawal makalah ini, plastik dicatatkan sebagai sisa kedua tertinggi sebanyak 14 peratus selepas sisa makanan (40 peratus) yang dihasilkan oleh kita semua.

Makanya, kempen seumpamanya adalah suatu keperluan bagi mengecilkan angka tersebut dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah yang sedia ada.

Malangnya, usaha murni sebegini telah dicemarkan dengan tindak-tanduk segelintir pemimpin politik yang cuba meraih sokongan pengundi di Selangor dan dikeruhkan lagi dengan laporan songsang oleh media arus perdana.

Dan lebih tepat adalah kerana usaha murni ini dilaksanakan oleh kerajaan Selangor dibawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Barangkali pemimpin politik kongkalikong yang gebang menghentam kempen #bebasplastik ini lupa bahawa beliau sedang mengetuai kementerian yang sedang mengusahakan dasar pengasingan sisa pepejal di punca melalui kempen #asingkan.

Dua dasar murni ini sebenarnya telah dijadikan mangsa demi meraih laba politik. Polemik sebagai tetapan agenda (agenda setting) telah digembar-gemburkan oleh media arus perdana setiap hari, saban waktu sehingga pada akhirnya mengelirukan dan seterusnya menggagalkan usaha membentuk kesedaran dan mendidik masyarakat umum.

Seperti kempen #bebasplastik yang kini dipersoal tentang aliran caj 20 sen bagi setiap helaian beg plastik yang diperlukan, kempen #asingkan pada awal pelaksanaannya juga dipersoal tentang kompaun yang dikenakan oleh pihak yang berkenaan sebagai lubuk baharu pemerintah menjana pendapatan.

Padahal, saya fikir kaedah mengenakan kompaun melalui penguatkuasaan undang-undang sedemikian merupakan langkah akhir bagi mendidik dan mendisiplinkan masyarakat umum tentang pengurusan sisa pepejal yang lestari.

Media dan pemimpin masyarakat khususnya pemain politik seharusnya memberi pencerahan kepada masyarakat umum tentang keperluan untuk menjayakan dasar-dasar yang berkenaan sejajar dengan ketetapan yang telah dibuat melalui Persidangan tentang Alam Sekitar dan Pembangunan 1992 – pengurusan sisa pepejal telah diletakkan sebagai antara masalah asas yang dihadapi dunia bagi memelihara alam sekitar dan seterusnya mencapai pembangunan mapan di serata dunia.

Memangsakan usaha murni sebagai polemik demi meraih laba politik suatu kesilapan yang membawa kesan jangka masa panjang.

* Muhammad Ariff Mohamad Nizam merupakan graduan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline