Wednesday August 9, 2017
11:14 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

9 OGOS — Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua penerangan Umno Shah Alam Razalee Ahmad yang mengusulkan agar kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan.

Apabila menjelangnya pilihan raya umum (PRU), Umno seakan-akan menjadi jaguh kampung dengan isu tol yang selama ini tidak diendahkan. Hentikanlah sandiwara ini yang berpuluh-puluh tahun telah menghantui rakyat jelata.

Saya fikir Umno tidak perlu bersikap hipokrit dengan isu pemansuhan tol ini, pembangkang seawal 2012 lagi sudah menggesa kerajaan Umno Barisan Nasional untuk memansuhkannya dengan mengadakan demonstrasi dan sebagainya.

Kewujudan plaza tol ini sejak lebih puluhan tahun yang lalu telah membebankan rakyat setiap hari dan sepatutnya dimansuhkan segera.

Saya sebagai wakil rakyat tidak mahu suara dan hak rakyat diabaikan dan ingin menyampaikan apa yang sepatutnya didengar oleh kerajaan Umno BN.

Kerajaan Umno BN pada hari ini langsung tidak mengambil pendekatan yang boleh mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam isu kadar tol termasuk penutupan tol, pemansuhan tol dan pengurangan kadar tol.

Menurut Plus Malaysia Berhad (PLUS), perjanjian konsesi asal kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau sepatutnya berakhir pada 2018 tetapi telah dilanjutkan sehingga tahun 2038. 

Perlakuan ini seperti sengaja dipanjangkan untuk mengutip tol ratusan juta selama berdekad-dekad lamanya yang hanya akan menguntungkan segelintir manusia dan "menghisap darah" rakyat.

Ini amat tidak adil kepada rakyat kerana terpaksa membayar tol atas kesilapan kerajaan Umno BN dalam menandatangani perjanjian konsesi tol yang jelas berat sebelah dengan memberi keuntungan kepada syarikat konsesi tol PLUS.

Kerajaan Umno BN sepatutnya bertanggungjawab memberi kemudahan terbaik kepada rakyat dan bukannya berterusan menekan rakyat dengan mengenakan tol yang dianggap tidak lagi munasabah.

* Rodziah Ismail adalah wakil rakyat PKR bagi kerusi Batu Tiga

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline