Friday September 8, 2017
6:25 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

8 SEPTEMBER — Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak menjatuhkan hukuman 48 tahun serta 24 sebatan kepada seorang bapa yang telah melakukan 623 pertuduhan jenayah seksual terhadap anaknya sendiri.

Kes ini mencatat sejarah sebagai kes jenayah seksual paling banyak melibatkan seorang individu di negara ini.

Orang ramai begitu terkesan dengan kes ini memandangkan perbuatan terkutuk itu dilakukan tanpa mengira masa dan tempat.

Tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa sebaliknya tertuduh telah mengkhianati perhubungan amanah antara bapa dan anak sehingga meninggalkan kesan kecederaan fizikal dan trauma yang mendalam.

Keputusan mahkamah ini diharap memberi pengajaran kepada mereka di luar sana yang mana tiada siapa yang mengatasi undang-undang.

Seperti yang ditegaskan sebelum ini kewujudan mahkamah khas ini serta Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 adalah tepat pada masanya dan akan memberi impak yang besar kepada masyarakat.

Saya mengucapkan terima kasih kepada ketua hakim negara dan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia atas komitmen untuk memastikan kes yang dibawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini diselesaikan dalam tempoh kurang satu tahun. 

Sejak ditubuhkan pada 22 Jun 2017 sehingga 31 Ogos 2017 sebanyak 293 kes telah didaftarkan yang mana 236 adalah kes baru dan 57 kes yang dibawa dari Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Sebanyak 36 kes telah selesai, manakala bakinya masih dalam sebutan dan perbicaraan.

Pada masa yang sama, kerajaan juga bercadang untuk memperluaskan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini ke seluruh negara secara berperingkat dalam usaha kerajaan untuk memberi perlindungan terbaik kepada kanak-kanak.

* Datuk Seri Azalina Othman Said ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline