Sunday February 4, 2018
5:37 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

4 FEBRUARI — Sehingga hari ini, masih belum terdengar sebarang kenyataan mahupun respon daripada pihak kementerian terhadap kematian tragis adik M. Vasanthapiriya berumur 14 tahun akibat cubaan bunuh diri kerana didakwa mencuri. 

Ibu dan bapa menghantar anak mereka ke sekolah dengan seribu pengharapan. Peratusan masa yang dihabiskan oleh anak-anak di sekolah merangkumi lebih 50 peratus daripada masa bersama keluarga. 

Sekolah perlu selamat dan kondusif bagi pembangunan fizikal, mental serta sosialisasi murid. 

Daripada laporan media, tuduhan di depan umum yang dibuat terhadap mendiang adik M. Vasanthapiriya sememangnya memberikan impak psikologi yang mendalam kepadanya. 

Mengikut prosedur Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 perkara K — mencuri,merompak, dan memecah masuk kawasan larangan menyatakan mana-mana pelajar, setelah dibuktikan bersalah, barulah boleh dirotan. 

Bahkan jika dibuktikan bersalah sekalipun, pelajar perempuan dikecualikan daripada hukuman rotan menurut Peraturan-Peraturan Pelajar (Disiplin Sekolah) 1959.

Maka, pertamanya, Kementerian Pendidikan wajib mengangkat isu ini ke persada nasional menerusi siasatan menyeluruh, terbuka, yang tertumpu kepada memupuk ruang harmoni antara guru dan murid — dan mewujudkan persekitaran selamat buat anak-anak Malaysia.

Kementerian harus memberikan perhatian khusus dalam membanteras gejala ini daripada terus membelenggu ibu bapa, murid dan para guru. 

Ini adalah isu genting dan jauh lebih mustahak berbanding mengugut para guru untuk tidak menyertai politik. 

Tidak ada ruang untuk mana-mana pihak untuk menuding jari siapa yang bersalah. 

Namun demikian, usaha untuk tampil dengan siasatan yang telus adalah satu kewajipan demi untuk menuntut keadilan bagi pihak keluarga. 

Kita menangisi pemergian mendiang adik M. Vasanthapiriya. Bayangkan keluarga beliau menangisi kehilangan mendiang buat selama-lamanya. 

Selain mengambil iktibar, kita wajib menuntut tindakan segera bagi mengelakkan tragedi ini daripada berulang.

Kedua, buat jangka masa panjang, harus adanya satu jaringan pendidikan emosi yang profesional di kalangan guru dan murid. 

Jika ada para guru yang mempunyai masalah psikologi, mereka perlu dirujuk ke pejabat kesihatan. 

Seiringan dengan itu, murid yang memiliki simptom kemurungan, atau masalah emosi, wajar dikendali oleh pihak kaunseling dengan kadar segera. 

Grace Rubenstein dalam sebuah artikel bertajuk ‘Suicide Prevention Can Start At School’ menggesa pendidik untuk membuat perubahan dengan mengenal pasti dua langkah pencegahan awal untuk murid yang ada kecenderungan membunuh diri: Memberi perhatian khusus kepada murid yang berisiko dan berkemungkinan cenderung untuk langkah seterusnya; serta Bantu untuk melibatkan mereka dalam program saringan masalah mental di sekolah. 

Setinggi takziah dan setulus kasih saya hulurkan buat ibu bapa dan keluarga mendiang. Pesan saya untuk Putrajaya, bertindaklah sekarang untuk membina generasi yang lebih baik.

Nurul Izzah Anwar seorang anggota parlimen dan naib presiden PKR

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail.

Iklan

Iklan

MMO Instagram