Last updated -- GMT+8

Friday April 14, 2017
11:54 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

14 APRIL — Di samping kita membuat perancangan untuk pembangunan pengukuhan ekonomi, adalah  satu keperluan bagi memastikan bahawa perkembangan ekonomi yang berlaku ini adalah seimbang sekaligus berkembang secara lestari. 

Sebagai anak Johor, saya melihat bahawa isu lambakan pekerja asing di Johor semakin hari semakin kritikal. 

Banyak serbuan telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen Johor mendedahkan akan jumlah yang tinggi pekerja asing tanpa izin dan pada masa yang sama penempatan haram warga asing yang dipercayai akan mendatangkan masalah sosial terhadap rakyat Johor. 

Antara kes yang boleh saya tekankan di sini adalah berkenaan serbuan Jabatan Imigresen Johor di sebuah penempatan haram yang didiami lebih 400 pekerja asing di Johor. 

Hasil serbuan tersebut mendedahkan bahawa separuh daripada mereka tidak sepatutnya berada di sana dan mereka adalah terdiri pendatang asing tanpa izin (PATI) atau mereka yang sudah tamat tempoh. 

Penting untuk saya nyatakan disini bahawa isu ini bukan kerana dasar xenophobic tetapi atas dasar keselamatan rakyat di negeri Johor. 

Kebanyakan PATI tidak melalui saringan kesihatan oleh kerajaan dan ini akan mengakibatkan penyakit berjangkit mudah merebak kepada rakyat tempatan. 

Di samping itu, kerajaan pusat perlu memikirkan secara serius langkah atau usaha untuk mengurangkan lambakan PATI yang dianggarkan kini berjumlah 1.3 juta orang. 

Manakala statistik Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) pula mengikut Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah sejumlah 1.9 juta orang. 

Bermaksud jika dicampurkan kedua-duanya kini sudah mencecah 3.2 juta orang, yang meliputi 23 peratus daripada tenaga kerja yang ada di Malaysia. Ternyata angka 23 peratus ini telah pun  melebihi had siling yang ditetapkan kerajaan iaitu 15 peratus.

Realiti hari ini menunjukkan trend peningkatan warga asing sangat membimbangkan. Mereka sudah mula menjalankan perniagaan tanpa lesen yang akan menjejaskan kegiatan ekonomi warga tempatan serta menggugat keselamatan rakyat melalui pelbagai aktiviti jenayah serta penyakit berjangkit yang tidak terkawal hasil daripada lambakan PATI.

Tindakan yang lebih cekap perlu dilakukan bagi memastikan penempatan pekerja asing berada pada lokasi dan kondisi yang baik dan tidak menganggu kesejahteraan rakyat tempatan. 

Dalam pada itu, usaha membanteras PATI perlu terus digiatkan agar kedaulatan negara terus terpelihara dan hak-hak ekonomi serta keselamatan rakyat terus terbela. 

* Salahuddin Ayub adalah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah)

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

LAGI VIDEO DI MMOTV

Artikel-artikel berkaitan

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline