Last updated Saturday, December 10, 2016 7:04 am GMT+8

Thursday December 1, 2016
8:14 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

1 DISEMBER — Skuad Harimau Malaysia tampil dengan wajah baharu apabila beraksi pada Piala AFF 2016 yang bermula di Myanmar minggu lalu. 

Skuad Harimau belang kini memakai jersi baru tajaan Nike yang kehilangan “belang” dan kini menjadi “harimau kumbang”.

Dari awal lagi, pasukan “harimau baru” seolah-olah tidak menunjukkan sesuatu yang memberangsangkan.

Di mana peminat sudah dimaklumkan bahawa sasaran sekadar ke peringkat separuh akhir dan jika melepasi kelayakan tersebut maka jangkaan berikutnya adalah juga samar.

Jika peminat bola sepak menyaksikan perlawanan pertama di antara pasukan Thailand menentang Indonesia yang berkesudahan Thailand menang 4-2, tentu sekali ramai bersetuju jika pasukan “harimau baru” berjaya ke separuh akhir, lawan mereka adalah pasukan-pasukan ini.

Reputasi Thailand sebagai salah satu pasukan yang berjaya ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 tidak boleh dipandang sebelah mata, mereka berhadapan pasukan yang kuat seperti Jepun, Arab Saudi, UAE dan Australia.

Pasukan Thailand diuji sebenar-benarnya menentang pasukan terkuat Asia dan pengalaman ini menjadikan pasukan mereka lebih bertenaga dan seri dengan juara Asia, Australia adalah satu keputusan yang hebat.

Harimau Malaysia pula hanya di tangga keempat di pusingan kedua kelayakan mengatasi Timor Leste dan dibawah Palestin, UAE dan Arab Saudi. 

Kekalahan memalukan 10-0 di tangan UAE dan 6-0 di tangan Palestin secara timbal-balik tidak memberi apa-apa kesan baik bagi pegawai di FAM mahu pun pasukan.

Peminat juga seolah-olah sudah bersedia menerima kenyataan dan kini hanya boleh menyokong pasukan melalui kejohanan AFF setiap dua tahun dan boleh melupakan kejohanan Piala Asia kerana tidak pernah layak melalui merit. 

Malaysia menentang Kemboja dan dua pasukan lain dalam kumpulan adalah pasukan tuan rumah Myanmar dan Vietnam. 

Menjuarai kejohanan AFF 2010 adalah kejayaan yang tidak harus dilupakan, sukar melupakan kejayaan pasukan membenam Indonesia 3-0 di separuh akhir pertama di Stadium Bukit Jalil. 

Seluruh negara memberi sokongan padu namun pasukan Harimau bukan menjadi lebih baik, tetapi  kekal dengan rentak yang tidak memberangsangkan dan menurun rentak persembahan, dan kemuncaknya kekalahan 10-0 ketika menentang  UAE.

Semua ini berlaku dalam sukan bola sepak dan lain-lain permainan, tetapi kesannya terhadap sokongan peminat akan mengambil masa yang lama untuk pulih.

Pada tahun 2012 dan 2014, pasukan kita tewas kepada Thailand pada separuh akhir dan pada perlawanan akhir.  Ada yang kata, kita boleh menang pada 2014 tapi nasib tidak menyebelahi kita dan ianya tetap tidak menjadi.

Begitu juga tahun ini, tidaklah mengejutkan dan memang kita tidak layak ke separuh akhir.

Dengan persaraan empat tonggak, harapan ke separuh akhir adalah yang terbaik yang diharapkan. Skuad kita sendiri tidak menunjukkan keupayaan dan keyakinan.

Kita tidak mahu kedengaran kenyataan “alangkah baiknya jika mereka masih didalam skuad”, perlu diingat pemain-pemain adalah profesional, jika masih ada pemikiran sebegini maka pasukan tidak akan melonjak jauh.

Pasukan tuan rumah, Myanmar tentunya telah berusaha untuk membuktikan keupayaan mereka, manakala pasukan Vietnam sentiasa memberi kejutan. 

Kumpulan ini kelihatan mudah berbanding kumpulan Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.  

Pasukan Thailand memang menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan.

Dalam satu kajian atas talian yang dijalankan oleh Star Sport,  65 peratus dari 2,000 orang berpendapat Harimau Malaysia tidak akan melepasi kelayakan kumpulan dan 15 peratus berpendapat bahawa Malaysia akan memenangi kejohanan.

Tentunya, mereka dalam kumpulan 15 peratus tersebut bersikap patriotik atau mungkin hanya “berjenaka” namun kita harap ia akan menjadi kenyataan dan kita harus menyokong pasukan Malaysia.

Ramai yang memberi sokongan kepada pasukan Liga Inggeris dan Liga Sepanyol walaupun pasukan mereka tewas tetapi tidak kepada pasukan kebangsaan kita.

Penyokong tegar kita sentiasa berdoa dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan Harimau Malaysia “baru” dan “ngauman” terhenti dengan jaringan David Htan diminit ke 88!

* Azizi Ahmad ialah seorang pendidik.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline