Monday November 6, 2017
5:20 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

6 NOVEMBER — Kami kumpulan G25 menyarankan agar semua parti politik memperjuangkan dua perkara penting dalam manifesto pilihan raya mereka:

a) Memastikan pentadbiran Islam yang sederhana selaras dengan hasrat perlembagaan Malaysia demi memelihara kestabilan sosial dan ekonomi negara; dan

b) Menegakkan sistem demokrasi yang terbuka agar wujud urus tadbir yang berteraskan kedaulatan undang-undang (rule of law) serta semak dan imbang (checks and balance) bagi mengelakkan penyelewangan dan salah guna kuasa.

Semua parti politik harus sedar yang Malaysia akan berhadapan dengan beberapa rintangan dan cabaran kompetitif arena global yang semakin sengit, khususnya dalam usaha membangunkan ekonomi yang berterusan.

Sekiranya Malaysia mengambil langkah yang menggugat ketenteraman rakyatnya  dengan pelaksanaan dasar yang bercorak ekstremis atau mengetepikan kedaulatan undang-undang, semua ini akan membawa kesan yang buruk kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Banyak tenaga profesional dan kemahiran kita serta wang modal akan mengalir keluar ke negara lain, manakala pelabur swasta juga akan rasa gementar dengan masa depan ekonomi.

Kita harus ambil pengajaran daripada negara lain yang merosot sehingga menjadi negara gagal (failed states) kerana kerajaan mereka menggunakan politik agama dan bangsa yang tidak bertimbang rasa dengan hasrat rakyatnya.

Pemimpin pemimpin negara harus memperkenalkan pembaharuan atau reformasi dalam semua bidang pentadbiran kerajaan agar dapat memulih semula maruah negara yang amat terjejas akibat beberapa peristiwa buruk yang berlaku.

G25 menyarankan kesemua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya akan datang agar tidak lagi menggunakan retorik bangsa dan agama dalam manifesto masing-masing.

Rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik perkauman dan ingin melihat politik yang menyatupadukan semua rakyat sebagai satu bangsa Malaysia.

* Kenyataan media G25 Malaysia, kumpulan tokoh Melayu berpengaruh yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.  

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline