Last updated Saturday, April 29, 2017 11:58 pm GMT+8

Friday March 17, 2017
3:53 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

17 MAC — Saya menyambut baik kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bahawa usaha untuk menggandakan kelajuan internet di negara ini yang akan dilaksanakan dalam masa dua tahun.

Ingin saya ingatkan, dalam menghadapi persaingan global yang semakin mencabar, Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang wajar memiliki capaian internet berkelajuan tinggi dan meluas.

Hal ini perlu bagi memastikan kita tidak ketinggalan dalam merebut peluang besar daripada perkembangan ekonomi berasaskan internet yang semakin rancak.

Memetik laporan kaji selidik mutu perkhidmatan internet oleh syarikat internet Akamai Technologies Inc, pada suku pertama tahun lalu, saya berpendapat beberapa perkara wajar diberi perhatian:

1. Kedudukan Malaysia di tangga ke-74 dunia daripada segi purata kelajuan internet pada 2016 dengan kelajuan sekitar 6.4 megabait sesaat (Mbps) adalah menyedihkan.

Kedudukan itu merosot satu tangga berbanding 2015. Hasil kajian serupa juga mendapati negara ini hanya berada di tangga ke-9 dalam kalangan 15 negara rantau Asia Pasifik.

Malaysia dilihat semakin gagal menyerlah sedangkan kita adalah antara negara paling awal menceburi dunia siber dengan memperkenalkan Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya pada lewat 1990-an.

2. Berkedudukan di belakang Korea Selatan yang berada di tangga teratas dengan purata kelajuan 29Mbps, Hong Kong (19.9Mbps), Jepun (18.2Mbps), Singapura (16.5Mbps), Taiwan (14.8Mbps), New Zealand (10.5Mbps) dan Thailand (10Mbps) apakah Malaysia akan mampu bersaing menghadapi negara-negara serantau?

Suka saya mengingatkan Dr Salleh agar bersungguh-sungguh dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan internet di negara ini dan bukannya mengulangi janji-janji yang ditabur oleh para menteri sebelum beliau.

3. Bagi membuktikan kesungguhan tersebut, saya cabar kerajaan memberi penjelasan berhubung status Projek High Speed Broad Band (HSBB) fasa ke-2 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2014 lalu.

4. Sepanjang tempoh kira-kira tiga tahun yang dinyatakan itu, apakah projek dengan pelaburan kira-kira RM4.9 bilion itu telah mencapai sasarannya untuk mempertingkat kelajuan internet sehingga 10Mbps dan berjaya memperluas liputan internet di luar bandar seperti yang dirancangkan?

Kita bimbang kenyataan Dr Salleh baru-baru ini hanyalah bertujuan menutup kegagalan kerajaan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan internet di negara ini.

Rakyat sudah muak dengan janji serupa yang sering diulang-ulang oleh pemimpin kerajaan.

* Tan Kar Hing mewakili PKR bagi kerusi negeri Simpang Pulai, Perak.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline