Monday July 3, 2017
8:38 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

3 JULAI — Keputusan Kementerian Kesihatan menarik syarat lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan pegawai perubatan Gred UD41 dilihat bercanggah dengan aspirasi rakyat Malaysia yang sepatutnya menjaga dan memelihara kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Ia sekali gus seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan, bawah Artikel 161 dan Artikel 152, yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekali gus bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.

Kita harus sedar, adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi penjawat awam yang merupakan barisan hadapan kerajaan untuk berkomunikasi dengan masyarakat.

Sekiranya dengan mudah syarat BM dikompromi untuk membolehkan seseorang yang tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan bekerja dengan kerajaan walaupun secara kontrak, tidak mustahil satu hari nanti bahasa Melayu sudah tidak lagi dihormati dan hanya menjadi satu bahasa yang bukan sahaja terpinggir, tetapi tidak lagi berguna.

Jika bangsa Cina dan India sekeras-kerasnya mempertahankan sekolah vernakular untuk “menjaga” bahasa ibunda mereka, mengapa dengan mudah kita boleh berkompromi tentang sesuatu yang sangat besar seperti ini?

Sekiranya Kementerian Kesihatan tidak mempertimbangkan dan mengkaji semula keputusan penarikan syarat lulus BM, saya khuatir ini adalah permulaan kepada pelbagai lagi tuntutan untuk menyingkirkan bahasa Melayu sebagai bahasa berdaulat di negara ini.

Pemuda Umno Pahang membantah keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa perbincangan dengan mana-mana pihak ini kerana ia bukan sahaja mengganggu gugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi mewujudkan “double standard” dalam syarat wajib pengambilan penjawat awam.

Pemuda Umno Pahang juga menggesa Kementerian Kesihatan menarik balik penarikan syarat lulus BM itu dan mengkaji dengan terperinci kesan dan impaknya kepada semua pihak termasuk masa depan kedudukan bahasa Melayu serta perlembagaan yang menjadi asas pembentukan negara.

* Shahar Abdullah adalah ketua Pemuda Umno Pahang

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline