Thursday September 14, 2017
5:24 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

14 SEPTEMBER — Saya mengikuti permasalahan yang dihadapi oleh pelatih Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) secara berdepan dengan mereka dan mengikuti luahan mereka di laman sosial yang menjelaskan realiti yang sedang dihadapi mereka. 

Bukan untuk bersikap sinikal terhadap apa jua polisi kerajaan, tetapi saya merasakan bahawa kelewatan kerajaan dalam menyedari masalah yang berlaku adalah berpunca daripada kelemahan pihak kerajaan dan khususnya pihak Sekretariat SL1M dalam memperolehi perkembangan pelatih SL1M. 

Saya berpandangan kerajaan tidak seharusnya bergantung kepada aduan semata-mata, tetapi mekanisme pemantauan perlu diperkasakan dengan menjalankan kaji selidik sendiri seperti temubual tertutup dengan pelatih-pelatih  SL1M dan meneliti luahan mereka di media sosial.

Saya percaya dengan tindakan yang lebih proaktif sebegini, kerajaan akan menyedari bahawa ada di kalangan pelatih SL1M telah diekploitasi pihak majikan seperti kerja lebih masa tanpa elaun, menjalankan kerja diluar bidang skop kerja dan sebagainya. 

Di samping itu, perkongsian pelatih SL1M bersama saya juga mendapati bahawa mereka tidak dihebahkan oleh pihak Sekretariat SL1M akan wujudnya saluran aduan yang tepat dan sistematik kepada pelatih.

Malah saya mendapati bahawa ada pelatih yang tidak dapat mengisi posisi pekerjaan dan terpaksa duduk di rumah sahaja kerana pelatih yang diambil telah melebihi kuota kerja sedia ada. Ini adalah contoh situasi pembaziran bakat tenaga muda yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebaikan ekonomi negara. 

Situasi ini membimbangkan kerana tujuan teras SL1M bagi membantu graduan yang menganggur untuk mempertingkatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman kerja bagi memudahkan peluang mereka mendapat pekerjaan tidak mampu tercapai.

Skim ini yang telah dimulakan sejak 1 Jun 2011 dibimbangi tidak memenuhi objektifnya memandangkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh pernah memaklumkan bahawa terdapat 54,103 graduan yang menganggur dalam tempoh enam bulan menamatkan pengajian di universiti. 

Lebih malang lagi, situasi ekonomi kini menyebabkan ramai graduan terpaksa menganggur kerana ketiadaan peluang pekerjaan sehingga menatijahkan 11 peratus pengangguran di kalangan belia di seluruh negara.

Seharusnya kerajaan memikirkan dan melaksanakan program yang memberi kesan jangka panjang dalam mengurangkan kadar pengangguran, bukannya sekadar mengharapkan penghasilan program SL1M yang berteraskan jangka pendek (enam bulan).

Justeru, tindakan kerajaan melarang mereka yang dieksploitasi meluahkan di laman sosial adalah tidak tepat, sedangkan kerajaan tidak menyediakan ruang yang mudah, mesra dan selamat buat mereka, bahkan itu hak asasi mereka yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Nasib mereka perlu dibela terutama oleh pihak kerajaan. Kerajaan seharusnya perlu bergerak lebih proaktif untuk mendapatkan maklumat akan permasalahan yang dihadapi pelatih SL1M dan menyelesaikannya dengan segera dan secara holistik. 

* Faiz Fadzil adalah timbalan ketua Pemuda Parti Amanah Negara

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline