Wednesday March 8, 2017
7:24 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

8 MAC — Dunia hari ini menyambut Hari Wanita Sedunia. Sambutan dengan tema #BeBoldForChange atau #BeraniBerubah ini sangat tepat pada masanya sebagai satu cetusan untuk menggalakkan lebih ramai golongan wanita bangkit memberi sumbangan kepada dunia.

Hari ini peluang untuk golongan wanita mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang semakin terbentang luas.

Ramai tokoh dari kalangan wanita berjaya dibentuk sehingga menjadi idola generasi muda.

Kewujudan dan peranan mereka dalam aspek pembangunan negara juga mempunyai kepentingan tersendiri.

Pandangan dan suara mereka dinanti-nanti dalam membentuk dasar untuk kepentingan awam. Tiada siapa yang mampu menghalang kebangkitan baru ini.

Cuma apa yang golongan wanita ini perlukan hanyalah sebuah keberanian untuk meneroka bidang baharu yang dahulunya tidak tersedia untuk mereka ceburi. Keberanian untuk berubah dan mencipta kejayaan.

Maka, wanita yang sudah berjaya mesti kembali membantu menyumbangkan tenaga dan buah fikiran untuk memastikan wanita dan masyarakat boleh menikmati kesenangan dan peluang yang sama.

Justeru, saya menyokong desakan dari golongan wanita yang menuntut supaya peratusan penglibatan mereka ditambah meliputi bidang kehakiman, pendidikan, pentadbiran sektor awam dan swasta sehinggalah pemilihan sebagai calon dalam pilihan raya.

Walau bagaimanapun, untuk golongan wanita menjadi lebih aktif dan menyumbang hasil kerja yang berkualiti, satu sistem sokongan seperti pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak yang selamat mesti diperluaskan.

Hal ini bagi memastikan para ibu yang bekerja lebih fokus menumpukan perhatian kepada tugasan di tempat kerja.

Satu tinjauan baru juga perlu dibuat untuk menilai semula jenis-jenis halangan yang sering menghambat golongan ibu atau wanita bekerja supaya sistem sokongan yang baru boleh dibentuk.

Tanpa dilupakan, selain kerjaya, wanita dinasihatkan supaya membentuk keperibadian yang lebih seimbang dengan menekankan amalan kerohanian berdasarkan pegangan agama masing-masing supaya diri, keluarga dan komuniti sekeliling boleh menikmati kehidupan yang lebih tenang dan harmoni.

Namun semua galakan dan sokongan ini masih belum cukup jika perlindungan terhadap golongan wanita tidak diberi perhatian yang besar.

Peningkatan kes keganasan rumah tangga, penceraian yang memakan masa bertahun-tahun, nasib ibu tunggal yang tidak terbela menjadi satu babak yang cukup mengecewakan.

Aspek penguatkuasaan dan keadilan sistem perundangan perlu lebih diberi tumpuan dan penambahbaikan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan golongan wanita yang tertindas ini boleh dibela.

Kempen kesedaran tentang hak-hak golongan wanita mesti sentiasa diperbaharui supaya mereka lebih prihatin untuk menggunakan suara melawan penindasan yang saban hari dihadapi.

Sebuah paradigma baru perlu dibentuk supaya golongan wanita terus berani berubah.

Selamat Hari Wanita Sedunia. Berani Berubah. Berani Cipta Kejayaan. Wanita Nadi Kebangkitan Rakyat.

* Dr Siti Mariah Mahmud, ketua Wanita Parti Amanah Negara, juga ahli parlimen Kota Raja

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline