Saturday December 2, 2017
1:17 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

2 DISEMBER ― Baru-baru ini terdapat bantahan daripada guru, pendidik dan ahli politik mengenai isu buku teks Bahasa Inggeris yang diimport. Terdapat satu lagi respons tambahan sebagai persediaan untuk memiliki buku teks Matematik dan Sains pula.

Ia seolah-olah memaparkan ahli akademik kita tidak mampu dan berwibawa. Apatah lagi laungan pihak atasan tertentu yang sering menguar-uarkan bahawa “pendidikan kita bertaraf dunia”.

Apakah graduan kita atau ahli akademik yang memegang ijazah tertinggi seperti PhD memang tidak mampu untuk menyumbang ke arah “pembangunan buku teks”? Di manakah mereka yang sering mengaku “pakar” atau “pakar mata pelajaran” dalam isu ini?

Seorang bekas pendidik juga mempersoalkan “di manakah penulis buku teks?”  dalam media baru-baru ini dan menyatakan rasa kesal beliau kerana ahli akademik yang sebegitu ramai tidak tampil untuk menyumbang dalam pembangunan dunia pendidikan.

Di tempat saya bertugas juga dipenuhi dengan brosur, gambar kilauan kesusasteraan lama dan baru yang tersedia untuk pengajaran dan pembelajaran.

Senarai bahan pengajaran yang lama dan lapuk tetapi berkulit lembut dan keras kelihatan seolah-olah terlalu selaras dengan aktiviti-aktiviti bersama Standard Kurikulum Persekolahan.

Melihat senarai nama yang menyumbang kepada pembangunan buku teks atau modul tidak ada sesiapa pun akan yang meraguinya kerana para penyumbang dilihat mempunyai PhD, kepakaran, kelayakan dan pengalaman dalam memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran menjadi kenyataan.

Jadi, apakah perlunya kita menggunakan buku dan karya penulis bukan Malaysia?

Satu perkara yang pendidik kita di Malaysia tidak boleh mengatakan tidak dan perlu akur adalah kita perlu mengikuti sistem pengajaran yang diarahkan.

Satu perkara yang pasti para guru kita perlu menggunakan buku teks yang disediakan walaupun saya yakin bahawa tiada guru dapat mengajar semua bahan yang terkandung dalam satu tahun persekolahan.

Jabatan saya mempunyai buku teks dan modul lama dan baru, dan kami menggunakannya berulang kali bergantung pada subjek yang kami diminta untuk mengajar. Kami juga perlu menunggu “arahan” mengenai perubahan dalam “kurikulum”.

Kebanyakan bahan teks adalah taraf pendidikan yang ketinggalan zaman dan bukan sumber untuk guru-guru yang berminat membangun kemahiran abad ke-21.

Dengan perubahan piawaian, penilaian menjadi pentaksiran, dan kaedah pengajaran berubah, buku teks tidak dapat dikekalkan sebagai sesuatu yang sahih dan mempunyai nilai kebolehpercayaan.

Bagi ahli akademik yang cerdas dalam teknologi maklumat, mereka tidak akan mempunyai masalah kerana bahan-bahan mereka boleh didapati dalam talian dan dihubungkan dengan laman sesawang guru atau portal kelas.

Bahan yang dihasilkan oleh guru boleh dimuat naik ke laman sesawang guru, Wikipedia, atau platform lain seperti dokumentasi Google, dan dikaitkan dengan jadual kandungan atau silibus dalam talian.

Tapak dan platform seperti vleFrog, Moodle, Edmondo dan Schoology menawarkan kemudahan; kuiz dan ujian boleh disediakan dan dihantar. Ia membolehkan dan membenarkan guru mengumpul, membetulkan dan berkongsi kerja pelajar dalam persekitaran yang selamat.

Di dunia digital abad ke-21, buku teks elektronik atau buku kerja untuk setiap pelajar tidak lagi diperlukan.

Sudah tentu, sekolah-sekolah di Malaysia mesti menggunakan buku teks yang diluluskan untuk menyampaikan kurikulum yang konsisten. Walau bagaimanapun, buku teks hanya merupakan sebahagian daripada alat pengajaran dan pembelajaran, sama ada dalam cetakan atau dalam talian, digunakan untuk menyampaikan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.

Skrip yang ditetapkan oleh teks boleh membantu seorang guru mempelajari bagaimana untuk mengajar bahan. Skrip yang ditetapkan oleh teks dikatakan membatasi seorang guru kreatif, yang baru atau yang lebih lama, terutama yang berpengalaman.

Dengan pemotongan bajet yang serius, teknologi abad ke-21 menjadikan buku teks sebagai dokumen yang agak tidak sesuai.

Guru boleh menyediakan bahan yang sama dan menyusunnya mengikut kurikulum yang dibangunkan oleh Bahagian Kurikulum tetapi terdapat keraguan terhadap para ahli akademik kita sendiri.

Penglibatan guru dalam mengatur kandungan dapat menghasilkan kurikulum yang berkembang yang boleh membezakan atau diubah suai tepat pada masanya untuk para pelajar dan keperluan khusus mereka.

Perbezaan yang paling ketara ialah kos bahan yang dibangun oleh guru akan dapat dikurangkan bagi bahan yang sama yang dihasilkan dan diterbitkan dalam buku teks.

Kebanyakan buku teks menggalakkan kajian subjek dan ia tidak menggalakkan pembacaan. Penulis atau guru perlu menghasilkan jenis buku yang menjadikan anak-anak atau pembaca menikmati pembacaan.

Pelajar akan membaca apa yang menarik minat mereka, dan penyelidikan menunjukkan bahawa membaca untuk keseronokan meningkatkan skor bacaan. Tiada pelajar membaca buku teks hanya untuk keseronokan.

Buku teks yang dikatakan paling baru diterbitkan mungkin sudah agak ketinggalan kerana sesuatu penerbitan akan mengambil masa agak lama. Kandungan teks banyak yang tidak menyokong pembelajaran abad ke-21, kos buku juga agak mahal, dan seolah-olah menghalang kreativiti dan pembangunan guru.

Namun yang paling serius dan jelas masalah apa pun jenis buku teks, yang baru atau lama, adalah bahawa ia tidak memupuk minat membaca pelajar.

* Azizi Ahmad adalah seorang pendidik.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Iklan

Artikel-artikel berkaitan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline