Monday November 6, 2017
5:35 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

6 NOVEMBER — Saya menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Senator Datuk Chong Sin Woon di Parlimen berkenaan usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa komunikasi.

Saya pernah menghadiri sebuah majlis forum berkenaan masalah pendidikan masyarakat Cina di Ipoh pada 17 Julai 2012 sebagai ahli panel bersama Senator Datuk Chong Sin Woon.

Semasa majlis tersebut, saya menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab kesemua warganegara Malaysia untuk belajar dan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, khususnya untuk sekolah vernakular.

Kebelakangan ini, kita telah menyaksi gejala penggunaan bahasa Ingggeris mencemari keindahan bahasa Melayu dan “merojakkan” bahasa berkenaan.

Ia berlaku bukan setakat di sektor swasta tetapi juga berleluasa di persekitaran sektor awam oleh pemimpin dan agensi kerajaan.

Sebagai contoh penggunaan singkatan yang berasal daripada bahasa Inggeris telah menggantikan istilah-istilah bahasa Melayu.

Singkatan seperti GTP, ETP, RTC, UTC, DFTZ, NBOS, 1MDB berasal dari bahasa Inggeris sedangkan alternatif yang bersesuaian dalam bahasa Melayu wujud.

Sebagai permulaan, saya mencadangkan penggunaan singkatan berbahasa Inggeris diganti dengan istilah yang berasal daripada bahasa Melayu.

Sebagai contoh, GTP harus diganti dengan singkatan PTK (Program Transformasi Kerajaan), ETP diganti dengan PTE (Program Tansformasi Ekonomi), RTC ditukar jadi PTDesa (Pusat Transformasi Desa), UTC diganti PTBandar (Pusat Transformasi Bandar) dan NBOS ditukar SLBN (Strategi Lautan Biru Nasional).

Kedua, saya juga mencadangkan supaya Malaysia mengaktifkan dan menerajui Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia dengan tujuan menyeragamkan penggunaan bahasa Melayu di rantau ini.

Majlis bahasa tersebut boleh menggunakan semua sumber untuk terjemahkan karya, tulisan dan kertas kajian terbaru dalam bahasa lain ke bahasa Melayu untuk menyuburkan karya dalam bahasa kebangsaan kita.

Dengan bahasa yang seragam di rantau ini, setiap karya bahasa Melayu di tanah air akan mendapat pasaran jauh lebih besar daripada sekarang. Dengan usaha ini penggunaan dan karya serta nilai ekonomi bahasa Melayu akan meningkat.

* Dr Lee Boon Chye seorang ahli parlimen PKR bagi kerusi Gopeng

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline