Last updated Thursday, March 30, 2017 2:43 pm GMT+8

Friday January 6, 2017
11:30 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

6 JANUARI ― Hari ini saya membaca kisah Tan Yao Chun, seorang kanak-kanak berumur 7 tahun yang dibenarkan untuk mendaftarkan diri di sekolah rendah walaupun bergelar stateless.

Dia dilahirkan di Hospital Hatyai, ayahnya merupakan warganegara Malaysia manakala ibunya warganegara Myanmar. Ayah Tan gagal untuk mendaftarkan kelahiran anaknya di Kedutaan Malaysia di Thailand. Akibatnya Tan Yao Chun tidak memiliki sijil kelahiran.

Memetik kenyataan Datuk P Kamalanathan selaku timbalan menteri pendidikan, anak-anak stateless kini sudah boleh mendaftarkan diri di sekolah kerajaan dengan syarat salah seorang daripada ibu bapa mereka merupakan warganegara Malaysia dan mendapat sokongan daripada ketua kampung atau wakil.

Cerita seperti ini bukanlah sesuatu yang asing untuk orang yang menghabiskan masa selama hampir 13 tahun belajar di sekolah kerajaan di Sabah seperti saya.

Ramai kawan-kawan saya ketika itu perlu berhenti sekolah kerana menghadapi masalah dokumen pengenalan diri padahal mereka mempunyai potensi dan keinginan untuk belajar.

Bagaimana anak-anak stateless lahir?

Sepanjang tulisan ini saya akan mengambil Sabah sebagai contoh khusus berkenaan isu stateless  agar memudahkan pembaca untuk memahami isu kritikal ini.

Kebanyakkan imigran yang datang ke Sabah secara haram berasal dari negara Indonesia dan Filipina.

Sesetengah daripada mereka memilih untuk berkahwin dengan orang tempatan dan sebahagian lagi lebih selesa untuk berkahwin sesama sendiri.

Apabila anak mereka lahir, pasangan yang salah seorang daripada mereka warganegara Malaysia akan cuba mendaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara, manakala pasangan yang kedua-duanya terdiri daripada rakyat asing berkemungkinan besar tidak akan mengambil apa-apa usaha untuk mendaftarkan kelahiran anak.

Akibat birokrasi yang terlalu tinggi untuk mendaftarkan kelahiran anak-anak yang mempunyai ibu bapa warga asing ini dan ditambah dengan kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa anak-anak ini, maka lahirlah golongan anak-anak stateless.

Terdapat juga kes anak-anak yang dilahirkan di luar negara tetapi tidak didaftarkan di kedutaan Malaysia menyebabkan anak-anak ini menjadi stateless, seperti kes Tan tadi.

Anak-anak stateless dilayan seperti binatang

Secara teknikalnya mereka ini tidak wujud (invisible child) dan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan turut dinafikan.

Mereka tidak mempunyai negara, menetap di Malaysia sebagai ‘anak haram’ dan jika ingin pulang ke negara asal ibu bapa, mereka juga akan memegang status yang sama di sana.

Saya ingin persoalkan, adakah kerana kesilapan ibu bapa mereka yang datang secara haram di Malaysia menyebabkan anak-anak stateless ini menerima hukuman seteruk ini?

Mereka tidak berdosa, seseorang itu tidak bertanggungjawab tentang bagaimana keadaan kelahirannya ke muka bumi ini.

Akhirnya kebanyakan anak-anak ini tidak dihantar ke sekolah kerajaan atau swasta tetapi digunakan untuk membantu ibu bapa mencari pendapatan.

Seawal usia lima hingga 10 tahun mereka sudah terpaksa membanting tulang melakukan pekerjaan saat anak-anak lain sedang menyiapkan kerja sekolah di rumah.

Kebanyakan anak-anak yang bekerja ini belum lagi mengenal huruf atau nombor dan perlu berhadapan dengan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Sekali-sekala hal ini menerbitkan air mata untuk mereka yang mengikuti cerita mereka secara mendalam.

Melalui tekanan-tekanan inilah ada di antara mereka yang silap memilih jalan yang salah dengan terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan berunsur jenayah.

Mereka merasakan diri mereka tidak disayangi dan dipedulikan oleh sesiapa di samping rasa cemburu yang timbul apabila melihat anak-anak lain memiliki kehidupan yang lebih mudah.

Pendidikan adalah hak asasi

Selain daripada makanan, pakaian dan tempat perlindungan, pendidikan juga merupakan hak asasi yang sewajarnya diberikan kepada semua manusia khususnya kanak-kanak tanpa mengira status kewarganegaraan yang dia miliki.

Saya harus memberi kredit kepada Kementerian Pendidikan apabila memberi peluang kepada Tan untuk belajar dan saya juga mencadangkan agar selepas ini anak-anak stateless diberikan ruang yang lebih besar untuk menikmati pendidikan asas.

Saya pernah mengenali seorang pelajar yang cemerlang dalam SPM tetapi gagal melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi akibat memegang status “memohon taraf kewarganegaraan Malaysia”.

Ayahnya merupakan warganegara Malaysia manakala ibunya merupakan warga Indonesia. Saya fikir sudah masanya Kementerian Pengajian Tinggi membuka ruang untuk ‘kes-kes’ khas seperti ini.

Sudah pastinya mereka tidak boleh diberikan manfaat yang sama seperti warganegara Malaysia kerana itu adalah sesuatu yang mustahil.

Kita beruntung kerana Malaysia memiliki banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjenama kemanusiaan dan kebajikan.

Seharusnya mereka lebih berfungsi dalam membantu anak-anak stateless di negara sendiri berbanding memberikan tumpuan sepenuhnya pada isu antarabangsa.

Mereka boleh sahaja mewujudkan sekolah untuk memberi pendidikan kepada anak-anak stateless ini (hal ini sudah berlaku) dan memberi bantuan kewangan sekirannya pada masa hadapan anak-anak ini diberi ruang untuk belajar di peringkat pengajian tinggi.

Kesimpulan

Pemerintah harus mengakui mereka tidak dapat membendung kedatangan warga asing secara haram seperti mana yang berlaku di kebanyakan negara di dunia.

Oleh itu, mereka perlu mencari solusi terbaik untuk menguruskan kedatangan “pelancong-pelancong” ini.

Terutamanya berkaitan anak-anak stateless, jika tidak dapat menguruskan mereka di atas nama pemerintahan, maka urus dan bantulah mereka di atas nama kemanusiaan.

* Rahman Imuda adalah aktivis mahasiswa.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

LAGI VIDEO DI MMOTV

Artikel-artikel berkaitan

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline