Monday November 13, 2017
11:38 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

13 NOVEMBER — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang berat kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkaitan dengan larangan berkaitan pemakaian tudung untuk wanita Islam yang ingin bekerja di bahagian depan (front line desk) hotel-hotel di Malaysia.

Abim menilai kenyataan tersebut secara jelas menafikan hak kebebasan mengamalkan agama dan terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Abim memandang serius sebarang isu diskriminasi wanita di tempat kerja. Tambahan pula ia cuba dijustifikasikan atas piawaian dan dasar antarabangsa.

Persoalan yang berikut timbul daripada polemik ini:

1. Bagaimanakah sesebuah hotel boleh beroperasi dengan menggunakan tatacara operasi piawai (SOP) yang jelas bercanggah dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan?

2. Sejelas manakah Indeks Syariah yang diuar-uarkan menjadi rujukan dan turut meliputi industri perhotelan di negara ini taktala wujud SOP untuk sesebuah hotel menghalang pekerja atau pelatih mengenakan tudung di kaunter khidmat pelanggan?

3. Apakah ruang yang diberikan untuk para pekerja atau pelatih wanita Muslim untuk menyuarakan hak mereka secara rasmi? Apakah wujud penafian mahupun larangan untuk mereka menyuarakan aduan melalui saluran rasmi hatta melalui kesatuan mahupun badan bukdan kerajaan (NGO) pekerja?

4. Apakah konsep Hotel Patuh Syariah yang cuba diterapkan, sebagai contoh Kumpulan Hotel De Palma mulai tahun 2008, tidak menepati piawaian antarabangsa mulai tahun mahupun menjejaskan kualiti industri perhotelan dan pelancongan negara?

Dengan itu Abim menggesa agar pihak-pihak berkuasa berkenaan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, dan Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan kenyataan rasminya berhubung dengan isu ini.

Masyarakat memerlukan rujukan atau makluman dasar rasmi berhubung isu ini memandangkan ia menyentuh sensitiviti beragama dan hak asasi manusia dalam industri yang cuba mengangkat imej negara di mata dunia.

Amalan bertudung bukanlah suatu amalan yang asing hatta di peringkat antarabangsa yang meraikan sumbangan para tokoh serta professional wanita Muslim dalam pelbagai lapangan.

Jangan sampai polemik ini menjejaskan nama baik negara serta industri pelancongan yang tergabung dengan perkembangan sejagat.

Atas dasar ini, Abim juga menyeru agar kesemua pendukung hak asasi manusia dan wanita untuk sama-sama memperjuang isu ini secara serius di peringkat nasional sehingga antarabangsa.

Larangan pemakaian tudung sudah menjadi isu lapuk yang perlu ditentang bukan sahaja dalam kalangan industri perhotelan, hatta dalam setiap lapangan pekerjaan serta industri sekalipun.

* Nor Azura Kamarudin Sohami adalah naib presiden (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Artikel-artikel berkaitan

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline