Wednesday November 8, 2017
6:04 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

8 NOVEMBER — Saya ambil maklum kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa penutupan beberapa Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kerana lokasi tidak strategik dan saiz kedai yang besar sebagai punca kos operasi meningkat.

Ini alasan yang tidak masuk akal, sedangkan di kawasan bandar pun KR1M mengalami masalah dan ada yang terpaksa ditutup.

Saya rasa Hamzah mungkin terlupa dengan apa yang pernah dikatakannya sebelum ini, bahawa penutupan KR1M hanya sementara bagi tujuan penambahbaikan. 

Nampak sangat sebenarnya kerajaan sudah tiada wang untuk meneruskan perniagaan tersebut ekoran masalah kelemahan urus tadbir.

Ini dilihat sebagai petunjuk terhadap kelemahan ekonomi negara dan kejatuhan nilai ringgit yang didorong oleh kehilangan kepercayaan pelabur terhadap integriti tadbir urus negara kita.

Jika dinilai semula, daripada awal matlamat KR1M sebenarnya bertujuan mengurangkan bebanan rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil sederhana (IKS) tempatan mendapat tempat dalam pasaran tempatan. 

Saya percaya penubuhan KR1M sejak tahun 2011 hanya gimik kerajaan Umno BN untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 pada 2013. Kini KR1M 2.0 pula kesinambungan gimik untuk PRU14.

Saya berpendapat penutupan KR1M kerana GST memberi kesan buruk dan pemborong Mydin tiada pilihan lain selain terpaksa menaikkan harga barang. 

Selain itu, saya yakin bahawa faktor sebenar penutupan sementara disebabkan kekeringan kantung negara yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini, Najib mengumumkan penstrukturan semula KR1M 2.0 mulai 2018, sebelum diperluaskan kepada 3,000 kedai dalam tempoh tiga tahun. 

Apakah jaminan KR1M 2.0 dapat bantu rakyat kali ini? 

KR1M yang dilaksanakan sebelum ini pun gagal, bagaimana hendak teruskan? Berapa banyak lagi wang rakyat akan dilabur?

* Sandrea Ng adalah naib ketua Angkatan Muda PKR Perak.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline