Thursday September 15, 2016
2:40 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

15 SEPT — Allah mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan dan tidak akan hidup bersendirian dan manusia yang tidak boleh lari daripada berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang.

Jika ada manusia yang tidak suka atau melarang orang lain daripada berkawan, mereka dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri sebagai seorang manusia normal.

Itulah antara hikmah kenapa Allah mencipta manusia daripada berbagai bangsa, bahasa dan warna kulit.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya.”

Kenalan mungkin wujud sebagai rakan siber yakni mengenali seseorang itu dalam bentuk atau identiti tertentu atau mereka yang pernah berinteraksi dengan kita tetapi tidak dapat mengesahkan identiti kewujudan sebenarnya.

Kita perlu berwaspada dengan kenalan siber kerana mereka tidak semestinya orang yang sama dikenali di internet yang boleh meluahkan perasaan dan masalah mereka menerusi ruangan kemudahan interaksi di internet. Berkenalan boleh memberi kebaikan menerusi perkongsian pendapat, idea dan penyelesaian masalah.

Rakan ialah perantaraan antara kawan dan kenalan yang berkongsi minat, kerjaya, hobi, permainan, kelas, matlamat dan sebagainya dalam satu organisasi seperti persatuan, kelab, syarikat, pertubuhan dan sebagainya.

Rakan biasanya orang yang boleh mewujudkan kerjasama. Contohnya belajar bersama, membuat tugasan berkumpulan, bekerjasama dalam pasukan permainanan dan rakan mengadakan mesyuarat untuk organisasi dan sebagainya.

Ada rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, kawan, atau hanya sekadar kenalan.

Kawan pula ialah seorang yang boleh berkongsi lebih dari satu perkara seperti minat, hobi, perasaan, perjuangan dan sebagainya biar pun bukan dari organisasi yang sama, sering berinteraksi dengan kita dan mengenali beberapa fakta peribadi mengenainya.

Kawan biasanya terjadi apabila seseorang itu menemui individu lain, yang memiliki persamaan seperti sikap, tabiat dan pemikiran yang sama dengan dirinya. Kita selalunya memiliki masa untuk bersama, berkongsi kesedihan dan tetapi tidak akan pergi lebih jauh daripada itu. Malah, sekiranya tidak sependapat, hubungan kawan mungkin boleh terputus.

Sahabat adalah orang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri kita, tetapi tidak memiliki hubungan darah, bukan terdiri daripada adik-beradik tetapi berupaya mewujudkan hubungan yang mirip hubungan persaudaraan yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada kita bersama.

Sahabat adalah seorang yang setiakawan, penjaga, pelindung, pembantu dalam kesusahan, meredakan kesedihan , menghilangkan kebimbangan, berasa selamat dan sanggup berjuang demi kebaikan kita.

Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita, yang menyayangi kita, tidak semestinya memiliki minat atau pendapat yang sama, tetapi mereka akan sentiasa ada apabila kita memerlukannya.

“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (Hadis riwayat al-Hakim).

Carilah teman baik yang dapat membantu. Teman paling baik ialah apabila kita melihat wajahnya, kita akan teringat kepada Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya kita akan mengingati mati.

* Azizi Ahmad adalah seorang pendidik

** Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat The Malay Mail Online.

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline