Wednesday November 8, 2017
6:01 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

8 NOVEMBER — Jambatan Labuan-Menumbok telah dikenal pasti oleh kerajaan sebagai penggerak utama untuk merancakkan pembangunan ekonomi Labuan dan rantau sekitar di masa hadapan.

Dengan lokasinya yang strategik, ia akan memanfaatkan kedudukan semasa Labuan sebagai pusat global dan serantau untuk perniagaan dan syarikat kewangan antarabangsa sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan Labuan sebagai sebuah Bandar Pulau pintar dan lestari dengan kepelbagaian ekonomi menjelang 2030.

Baru-baru ini, sebagai berita gembira kepada penduduk Labuan dan Sabah, kerajaan telah meluluskan cadangan membina Jambatan Labuan-Menumbok dan memperuntukkan sejumlah RM14.31 juta di dalam Bajet 2018 untuk pelaksanaan Kajian Kemungkinan Tekno-Ekonomi.

Pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan tekno-ekonomi adalah penting untuk memastikan kemungkinan teknikal dan menentukan penilaian ekonomi dan kewangan projek ini.

Kajian ini akan merangkumi pengumpulan data secara menyeluruh dan kajian kejuruteraan untuk membangunkan konsep teknikal untuk projek ini.

Skop kajian ini akan mencakupi penilaian terhadap risiko-risiko yang terlibat, tindakan yang diperlukan untuk langkah-langkah mitigasi dan menyediakan cadangan segera untuk pelaksanaan projek melalui model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Kajian Tekno-Ekonomi ini termasuk rekaan kejuruteraan awalan, analisis ekonomi dan kewangan, audit keselamatan jalan dan kajian lapangan pihak ketiga seperti pemeriksaan tanah, kajian pesisir pantai, kajian trafik dan kajian alam sekitar.

Matlamat utama kajian tekno-ekonomi ini adalah untuk menyediakan anggaran kos terkini projek menggunakan konsep reka bentuk awalan untuk menilai potensi model perolehan menggunakan skim PFI.

Penemuan kajian ini akan digunakan sebagai penanda aras untuk peringkat seterusnya pelaksanaan projek ini iaitu permintaan untuk cadangan dan panggilan untuk tender terbuka untuk mengenal pasti pelabur yang bersesuaian daripada sektor swasta.

Pada tahun 2010, sebuah kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang mengetengahkan keperluan Jambatan Labuan-Menumbok.

Walaubagaimanapun, kajian tersebut tidak mengambilkira penilaian ekonomi dan kewangan projek ini. Kajian ini juga adalah bersifat peringkat awal dan tidak mencukupi untuk merangka sebuah model perolehan PFI.

Oleh sebab yang demikian, kajian kebolehlaksanaan tekno-ekonomi diperlukan untuk menyelesaikan perkara-perkara berbangkit untuk ke peringkat seterusnya dalam pelaksanaan projek ini.

* Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline