Friday October 20, 2017
6:07 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

20 OKTOBER ― Laporan Lowyat.net semalam yang mendakwa sebanyak 50 juta data peribadi syarikat telekomunikasi dan 17 juta data peribadi dari laman web syarikat carian pekerjaan telah dicuri di antara 2012-2015 dan sedang dijual pihak tidak bertanggungjawab cukup memeranjatkan dan merisaukan.

Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengekang akses umum kepada laporan berita dengan mengarahkan Lowyat.net menurunkan laporan tersebut juga tidak memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sepatutnya untuk memastikan hak pengguna khusus berkaitan data peribadi cukup selamat.

Malah mengekang akses kepada laporan tersebut mewujudkan persepsi ada pihak yang cuba menyembunyikan dakwaan berlakunya pencurian begitu banyak data peribadi rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak perlu memberikan penjelasan segera mengenai perkara ini kerana ia melibatkan keyakinan pengguna khususnya rakyat Malaysia terhadap tahap keselamatan pangkalan data syarikat-syarikat telekomunikasi serta syarikat-syarikat lain yang mengumpul maklumat tersebut.

Jika benar kejadian pencurian data peribadi ini telah berlaku, satu audit khas perlu dilaksana SKMM untuk mengenal pasti tahap keselamatan terutamanya kelemahan-kelemahan pangkalan data syarikat-syarikat yang memegang data peribadi pengguna. 

Laporan ini kemudiannya perlu dibentang di Parlimen, dan pihak kementerian perlu memberikan cadangan untuk menambah baik Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Saya juga menggesa agar pihak Lowyat.net segera membuat laporan polis agar pihak Polis Diraja Malaysia dapat menyiasat dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, SKMM perlu mengesahkan apakah ada mana-mana syarikat yang telah gagal menjamin keselamatan data peribadi pengguna. 

SKMM juga perlu menjelaskan tindakan yang akan diambil terhadap syarikat-syarikat ini untuk memastikan bahawa kejadian yang tidak diingini ini tidak berulang.

Data peribadi amatlah bernilai dan kita tidak boleh berkompromi dalam memastikan ianya disimpan dengan selamat.

* Fahmi Fadzil merupakan Pengarah Komunikasi PKR.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline