Thursday September 8, 2016
2:22 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

8 SEPT — Kekalahan pasukan ‘belum serasi’ Harimau Malaysia 3-0 kepada pasukan Garuda (biarpun tuan rumah sudah setahun tidak beraksi dalam perlawanan antarabangsa akibat penggantungan) menjadi topik perbualan.

 

Selain daripada kurang keserasian antara pemain dan beberapa tonggak bersara daripada skuad negara, beberapa pemain sakit perut dan mengalami kekejangan turut dikatakan punca kekalahan pasukan ‘profesional’ negara.

Kita semua tahu, ini adalah isu dan masalah pasukan bolasepak negara dan mungkin pasukan lain iaitu ‘alasan’.

Apa sahaja alasan yang digunakan adalah tertanam dalam naluri manusia. Ramai akan berfikir bahawa dengan memberi alasan (apa lagi lah yang nak diberikan) maka dapatlah melindungi ego, harga dan nilai diri.

Dalam jangka pendek, ia mungkin berhasil tetapi rasanya bagi pasukan yang sering dan asyik tewas tiada apa lagi yang boleh dikatakan. Kita akan meneruskan ‘perjuangan’ seperti tidak ada apa yang harus digusarkan dan akan terus memberi alasan demi alasan dan menyalahkan keadaan jika masih tidak berubah.

Walau pun dalam jangka panjang, masih tidak ada perubahan dan peningkatan dapat dijelmakan; yang perlu adalah cuba meneruskan peningkatan sehingga mencapai kejayaan.

Rasanya puas sudah peminat membaca dan mendengar alasan demi alasan dari jurulatih, pemain, pegawai dan peminat dari semua peringkat. Yang menarik adalah suara dan rungutan sering didengari dalam permainan bolasepak sahaja berbanding pasukan lain.

Kalau pun ada rungutan dalam sukan permainan lain, namun ianya tidaklah sehebat sukan bola sepak.

Alasan yang sering didengar adalah pasukan masih ‘baru’, tidak bernasib baik, perjalanan ke tempat lawan yang jauh dan pemain kepenatan, cuaca yang sejuk sehingga menyusup tulang, panas terik, hujan dan padang becak, perlawanan ini hanya untuk menguji pemain, kehilangan beberapa pemain dan seterusnya dan seterusnya.

Oleh kerana kebanyakkan kenyataan tersebut adalah fakta sebenar, maka seharusnya janganlah ianya dijadikan alasan kepada persembahan yang mengecewakan.

Sebaliknya, lihatlah kepada implikasi asas fakta-fakta tersebut. Mungkin mudah jika komen hanya menyatakan ‘pelajarilah dari kegagalan tersebut dan cuba fahami atau perbetulkan apa yang boleh diperbaiki agar ada kemajuan boleh dilihat’.

Sebagai contoh, “kita tewas kerana kita kehilangan beberapa pemain utama yang bersara”.

Apabila kita memberi kenyataan seperti berikut, maka serta merta perbincangan sudah tertutup.  "Apa yang boleh dipelajari dan apakah yang boleh dilakukan mengenainya?".  Tentu jawapannya adalah “Tidak”.

Ketika seharusnya berkata “kita tewas kerana pasukan kita memang tidak mantap”.

Nampak tidak perbezaannya? Kenyataan ini dengan jelas mengenalpasti apa masalah sebenar.  Barulah perbincangan menyeluruh tentang bagaimana untuk menyelesaikan masalah dapat diadakan.

Bagi seorang jurulatih, kemungkinan anda telah tersalah menggunakan taktik formasi dan perlukan percaturan taktikal.  Atau memang anda tidak dapat menyediakan pasukan dengan sempurna, memandangkan anda hanya mempunyai hanya sebilangan pemain ‘profesional terbaik’ anda. Mungkin faktor kelemahan sebenar pemain adalah mereka tidak sebenar-benarnya cergas dan layak untuk bermain.

Bagi pemain pula, mereka yang dipanggil terpaksa mengisi kekosongan walaupun mereka sendiri tidak bersedia untuk cabaran tersebut. Namun mereka seharusnya menerima cabaran dan memotivasikan diri dengan berlatih dengan lebih giat demi untuk kecemerlangan diri dan pasukan.

Apabila terlalu kerap membuat dan memberi alasan, topik perkembangan akan berakhir dan tidak ada kemajuan boleh dibuat. Lebih buruk lagi, anda mengekalkan budaya yang mana ini boleh diterima. Kita perlu berhenti dan mengambil tanggungjawab!

Mungkin yang lebih teruk adalah “perlawanan ini hanyalah ujian pemanas badan dan hanya merupakan perlawanan persahabatan, kita masih boleh mencuba”.  Namun selepas mencuba dan di dalam kejohanan sebenar, pasukan tetap ditewaskan oleh pasukan ‘amatur’.

Mungkin agak keterlaluan, namun jika kenyataan tersebut datangnya dari pemain, pegawai, jurulatih atau peminat sendiri, maka rasanya tidaklah perlu lagi kita membincangkan mengenai sukan permainan. Kita hanya menyakitkan diri kita dan perkembangan sukan itu sendiri.

Hakikatnya tiada siapa pun mahu kalah atau tewas, walau dalam keadaan apa sekali pun.

Jika kita menganggap sesuatu permainan atau kejohanan itu sebagai alasan untuk tidak untuk dijuarai, maka kita harus menyatakan objektif sebenar hasrat kita.

Berbanding dengan negara lain, tidak kira di peringkat sekolah, kelab, kolej, profesional, perlawanan antarabangsa semua pelaporan dan komen biasanya mempunyai tanggapan positif yang dimainkan. Media tradisonal dan terkini secara formal atau tidak sentiasa akan memberi gambaran positif.

Apalah salahnya jika kita sedikit kritikal dalam memberi komen dan mengakui dan menerima hakikat dan realiti sebenar?  Apalah salahnya jika mengakui kita adalah lemah dan gagal dalam misi kita?

Tidak perlu takut untuk mengakui kekurangan. Yang penting, berdiri teguh, terimalah hakikat dan teruskan meningkat usaha. Kita akan menjadi lebih kuat, lebih baik, dan lebih berjaya dalam jangka masa panjang walaupun entah bila. 

* Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat The Malay Mail Online. 

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline