Tuesday February 6, 2018
4:05 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

6 FEBRUARI — Penciptaan pekerjaan di Malaysia seiring dengan prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh.

Sebanyak 2.26 juta pekerjaan tercipta sejak 2010 sehingga 2016 di mana 679,300 daripadanya adalah pekerjaan berkemahiran tinggi.

Sektor perkhidmatan mencatatkan penciptaan pekerjaan tertinggi dengan 1.78 juta pekerjaan sejajar dengan sumbangan sektor perkhidmatan kepada ekonomi negara yang tertinggi iaitu 54 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dengan penciptaan pekerjaan yang kukuh, Malaysia berjaya mengekalkan kadar guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 3 ke 3.5 peratus.

Pencapaian cemerlang ini adalah hasil Program Transformasi Ekonomi yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2010.

Dalam masa yang sama kerajaan juga telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan universiti dan belia.

Sejak 2011 kerajaan telah memperkenalkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang telah membantu 130,000 orang graduan universiti untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka di dalam pasaran pekerjaan. Hasilnya, lebih 90 peratus pelatih SL1M telah mendapat pekerjaan sama ada dengan syarikat di mana mereka menjadi pelatih atau syarikat lain.

Di bawah TalentCorp, terdapat juga program seperti Graduate-Career Accelerated Program (GCAP), program latihan enam minggu yang bertujuan untuk mentransformasi graduan kepada eksekutif berprestasi tinggi untuk industri perkhidmatan dan Graduate Employability Management Scheme (GEMS) yang bertujuan menyediakan graduan universiti yang tidak mempunyai pekerjaan dengan kemahiran industri yang relevan dan pengalaman melalui kaedah penempatan dan latihan.

Selain daripada program peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran, terdapat geran untuk program, dana kajian dan pengkomersilan dan dana pelaburan permulaan untuk perniagaan baru dan terdapat juga dana khas untuk belia Malaysia yang memilih untuk menceburi bidang keusahawanan.

Tabung Usahawan Belia adalah salah satu tabung yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui SME Bank. Dengan kadar faedah yang rendah, SME Bank menyediakan peluang pembiayaan setinggi RM100,000 dan Tabung Usahawan Siswazah menyediakan skim pinjaman mudah ditujukan kepada graduan.

Kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia kukuh dan stabil untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia kerana pertumbuhan ekonomi yang kukuh tidak bermakna sekiranya ia tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional akan terus menyediakan penyelesaian dan mencari peluang untuk memastikan lebih banyak rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan dan dalam masa yang sama menyediakan bakat bertaraf dunia.

* Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Iklan

Iklan

MMO Instagram