Friday April 21, 2017
10:27 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

21 APRIL — Pemuda Amanah Nasional mengambil serius rentetan kenaikan harga minyak selepas pelaksanaan penetapan harga jualan runcit secara mingguan.

Biarpun kenaikannya tidak berapa kelihatan iaitu secara nilai yang sedikit tetapi ia tetap terbeban apabila saban minggu berlakunya peningkatan.

Kenaikan harga minyak ini sangat memberi kesan langsung kepada kos barangan dan perkhidmatan yang mana ia menjadi pemula kepada rantaian kenaikan.

Kenaikan harga bahan bakar itu ditambah lagi peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ternyata memberi bebanan berganda kepada rakyat yang telah pun terhimpit dengan ‘jerutan’ cukai GST.

Dalam keadaan ekonomi yang ada hari ini, harga minyak mentah dunia dilihat menunjukkan trend meningkat, dan harga jualan runcit minyak akan turut naik sama berdasarkan kaedah apungan terkawal.

Tetapi kita juga perlu faham bahawa pada masa yang sama, kenaikan harga minyak mentah ini turut menguntungkan pihak kerajaan.

Bajet 2017 dirangka berdasarkan anggaran harga minyak mentah berada pada sekitar $45 setong, sedangkan harga minyak mentah dunia berada pada paras melebihi $50 setong sejak awal 2017 hingga sekarang.

Peningkatan harga jualan runcit secara berterusan dari minggu ke minggu seolah-olah telah menjadi rutin kerajaan Barisan Nasional.

Tanpa merasakan ia adalah satu tindakan yang jelik hingga menyebabkan rakyat semakin terbeban dengan kos sara hidup yang terus meningkat.

Bebanan yang dihadapi oleh rakyat dibuktikan oleh kadar inflasi yang diumumkan telah mencecah 5.1 peratus pada Mac, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Oleh sebab kos bahan api merupakan komponen utama yang mempengaruhi kadar inflasi, maka kerajaan harus bertindak segera untuk mengawal kenaikan kadar inflasi dan mengelakkan rakyat daripada terus hidup melarat.

Sebagai langkah pertama, dengan pertambahan pendapatan oleh pihak kerajaan daripada kenaikan harga minyak mentah dunia, Pemuda Amanah Nasional menggesa kerajaan menetapkan harga siling petrol di dalam negara ini.

Komitmen terhadap harga siling ini perlu ditanggung oleh subsidi, yang ditampung oleh pendapatan luar jangka yang telah diraih oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, Pemuda Amanah juga menggesa supaya kerajaan mengamalkan ketelusan dengan mendedahkan data-data penting yang digunakan dalam pengiraan harga jualan runcit bagi minyak RON95, RON97 dan diesel setiap minggu.

Ketelusan ini juga diharap selain dapat mendidik rakyat tentang perkembangan semasa, boleh menambahkan akauntabiliti ke atas kerajaan untuk menguruskan harta negara dengan penuh berintegriti dan adil, tanpa didorong oleh agenda politik kepartian terutamanya pada masa sekarang ini.

* Mohd Sany Hamzan ialah ketua pemuda Parti Amanah Negara

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline