Tuesday August 23, 2016
12:00 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

23 OGOS — Adalah menjadi satu budaya di dalam sesuatu organisasi di mana sesiapa sahaja yang beraksi sebagai ‘hero’ atau jurucakap kepada kumpulan yang tidak berpuas hati dengan pihak pentadbiran dan pengurusan akan dilabelkan sebagai ‘pembangkang dan tidak beretika dalam tingkah laku’, penganjur kepada perlakuan negatif dan ketidakadilan.

Mereka akan dianggap pembawa masalah dan perosak rancangan yang telah ditetapkan oleh ketua atau pemimpin yang ingin melaksanakan sesuatu program.

Kakitangan dari semua peringkat dan tahap pastinya akan berhadapan dengan permasalahan dan formulasi idea terhadap kerja yang dikemukakan.

Dapatan daripada beberapa kajian sains sosial menunjukkan bahawa, walaupun para pekerja ingin menyuarakan pendapat dan pandangan mereka, namun ramai yang akan memilih untuk berdiam diri kerana mereka percaya jika mereka bersuara, kedudukan mereka adalah dianggap sebagai ‘tidak selamat’ dan mencari pasal.

Ini kerap berlaku apabila, pekerja terpaksa menghadiri kursus latihan dan bengkel yang dianjurkan di tempat kerja. Para peserta terpaksa mendengar dan akur akan pembentangan yang disampaikan oleh mereka yang ‘terpilih’ yang biasanya para fasilitator yang ‘bijaksana lagi terhebat’.

Para ‘fasilitator’ akan sedaya upaya membuat para peserta ‘mengunci mulut dan mengangguk kepala’ dengan apa yang dianjurkan dan yang perlu dipatuhi seiring dengan hasrat dan keinginan organisasi serta meminta peserta melaksanakan apa yang perlu dilakukan.

Para ‘fasilitator’ dengan pengucapan ‘berapi dan semangat’ akan turut menyelitkan ungkapan ‘jangan berkata tidak’, ikut sahaja tanpa bantahan kerana semua ini adalah dasar.

Semua orang dalam organisasi tahu bahawa ‘ketua jabatan’ berkeupayaan memberi dan bertindak. Jika anda pandai ‘menjilat’ dan ‘mengangkat’ mereka, mereka akan menyinarkan kehidupan anda dan akan menyenangkan urusan berikutnya. Kebanyakan ‘fasilitator’ adalah ‘ekor’ kepada ‘kepala’ yang dimaksudkan.

Semua orang tahu ‘penjilat dan pengampu’ tidak akan kekal dengan kedudukan mereka, mereka akan tentunya akan mengalami kehidupan yang tidak senang dan ‘mental’ yang tidak stabil. Walaupun mereka sendiri tahu akan perkara ini, namun mereka tetap menganggap bahawa ini adalah pencapaian dan sasaran kerja mereka dan mereka turut lupa bahawa ‘minda dan hati’ mereka telah dibuta dan ditutup oleh Yang Maha Berkuasa sebagai ujian.

Ramai pekerja yang inginkan kedamaian, keseronokan dan kebahagiaan dalam menjalankan tugas harian mereka, lalu ramai yang akan memilih untuk tidak berkata apa-apa, bersikap menurut, merendahkan diri, memilih jalan selamat, tidak rela mengambil inisiatif, tidak mahu menyoal strategi dan tidak mahu bertegas.

Ramai yang rela dan mengambil kedudukan ‘penyepi’, namun, dengan opsyen yang terhad dan impak keatas organisasi, tidak semestinya semua bersetuju.

Untuk menentang atau tidak bersetuju untuk menjadi ‘pak turut’ memerlukan keberanian yang tinggi. Adalah lebih baik juga setiap pekerja dan kakitangan mempunyai pengetahuan, kompetensi dan kemahiran terhadap tugas masing-masing. Jika kita mempunyai tahap kebijaksanaan yang memuaskan, pastinya tidak ada siapa pun akan boleh menggugat anda.

Bagi mereka yang realistik dengan apa yang mereka laksanakan, pastinya tidak akan ada masalah yang akan timbul mahupun diganggu. Dengan perancangan dan strategi yang baik ditambah dengan penetapan kerja yang bermatlamat, tidak ada sesiapa pun mampu mencabar atau mempersoalkan apa yang anda lakukan.

Mungkin ada juga baiknya jika kita menjadi ‘pendengar’ yang baik, biarkan mereka bercakap dan pastikan ungkapan yang mereka ucapkan dihayati dengan penuh makna, jangan peduli akan ‘penyelewengan percakapan’ yang mereka maksudkan.

Jika anda ingin meluahkan pendapat dan pandangan anda, jangan risau, bangun dan berikan respon dan maklum balas yang jujur dan telus.

Juga diketahui, mereka yang biasanya bergelar ‘pak turut’ sebenarnya risau dan gementar dengan orang lain.

Walaupun diketahui bahawa ‘ketua jabatan’ tidak mahu mereka yang tidak bersetuju dengannya, namun ‘perbezaan pendapat dan sering tidak bersetuju’ adalah sesuatu yang penting dalam membuat keputusan yang bermakna dalam perlakuan dan etika korporat.

Bagi yang berjiwa ‘berani tanpa gentar’ mereka akan tetap berada dalam kedudukan yang tewas. Namun tewas ‘dalam maruah dan penuh hormat’ tetap merupakan seorang pemenang.

Memang kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak, dari menjadi seorang ‘maha hebat’ elok sahaja kaji akan keutamaan tugasan anda dan bahagiakan diri sendiri dahulu.

Memetik kata-kata CEO Avis Barry Rand sedekad yang lalu, “Jika anda mempunyai ‘pak turut’ bekerja untuk anda, ia adalah satu kelebihan.” Dan sudah tentu dan pasti ‘pak turut’ tidak pernah belajar.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline