Last updated Saturday, December 10, 2016 10:51 am GMT+8

Thursday December 1, 2016
7:47 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

1 DISEMBER ― Pembangunan belia ditakrifkan oleh para sarjana sebagai satu proses yang menyediakan orang muda untuk menghadapi cabaran remaja dan dewasa, dan mencapai potensi penuh mereka.

Ia dirangsang melalui aktiviti dan pengalaman yang membantu belia membangunkan kecekapan sosial, etika, emosi, fizikal dan kognitif.

Bagaimanapun, menarik untuk dilihat bahawa terdapat hubungan penting antara belia dan pembangunan negara, integrasi nasional dan kestabilan sosial.

Hubungan ini adalah saling bergantung, satu yang bergantung kepada yang lain untuk sara kehidupan dan lain-lain.

Oleh itu, peranan belia dalam pembangunan negara, integrasi nasional dan kestabilan sosial adalah amat penting.

Jadi, apa yang “muda” ini?

Ramai akan membahaskan bahawa menjadi muda tidak semestinya dikaitkan dengan usia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menakrifkan belia sebagai orang yang berumur di antara 15 dan 25 tahun.

Dasar Pembangunan Belia Negara Malaysia menakrifkan belia sebagai mereka yang berumur di antara 15 dan 40 tahun.

Belia Malaysia merupakan 46.5 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Kuantum penduduk belia ini menunjukkan bahawa belia adalah aset yang besar untuk Malaysia jika mereka dimanfaatkan dan bawa ke arah yang betul.

Menariknya, peralihan masyarakat dari satu generasi ke generasi adalah kritikal kepada aspirasi formatif dan pembangunan sesebuah masyarakat itu.

Itulah sebabnya mengapa masyarakat yang menyediakan belia demi aspirasi masa depan bukan sahaja akan menjamin pembangunan masa depan, tetapi juga akan menyediakan set pemimpin berikutnya dengan cabaran rekonsiliasi dan pembangunan negara.

Realiti belia hari ini

Cabaran untuk belia yang penting kepada pembangunan ekonomi Malaysia adalah banyak dan pelbagai, mereka tercabar dalam banyak perkara dalam hal pengangguran, di bawah-pekerjaan, sosial, kesihatan dan banyak isu-isu lain.

Isu-isu ini berbeza di antara kumpulan dalam negeri-negeri di negara ini (mengikut jantina, tahap pendidikan, etnik, agama, bandar dan luar bandar).

Walaupun kohort semasa belia mempunyai banyak kelebihan khususnya dari segi populasi, belia juga menghadapi keadaan yang kompleks dan pesat berkembang di mana peluang-peluang baru itu wujud bersama atau “co-exist” dengan cabaran-cabaran besar.

Oleh itu, belia sering dilihat dalam keadaan yang lemah dan tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi dan sosial yang berubah-ubah.

Realiti yang perlu ditelan hari ini ialah masih ramai belia yang jika tidak produktif dan tidak bertenaga masih menganggur dan terus kekurangan sokongan dari aspek polisi yang mencukupi.

Sesetengah daripada mereka mempunyai keperluan khusus yang memerlukan perhatian.

Ini termasuk mereka yang tinggal di jalanan, mereka yang hidup dengan HIV/AIDS, mereka yang kurang upaya dan mereka yang menghadapi isu-isu sosial.

Generasi berhutang atau debt-generation sedang menghantui generasi ini, apabila dengan gaji yang kecil serta perbelanjaan yang besar menatijahkan pembelian secara kredit terpaksa dilakukan demi memiliki asas kehidupan yang penting seperti rumah berlindung, pengangkutan, pendidikan dan lain-lain.

Literasi kewangan yang rendah juga antara cabaran bagi generasi muda hari ini. Namun, pokonya generasi ini berhadapan dengan kenaikan kos-kos kehidupan dalam mana pendapatan rakyat malar atau stagnant sungguhpun negara terus mencatat pertumbuhan KDNK setiap tahun dan juga pertambahan individu yang cepat billionaire dengan derma.

Generasi muda tentukan masa depan negara

Generasi fatigue terhadap politik semasa adalah realiti seterusnya yang perlu ditelan, ini juga termasuk mereka yang apathy terhadapi hal ehwal politik semasa.

Kajian IYRES sebuah badan penyelidikan belia di bawah kerajaan pada tahun 2013 mendapati bahawa minat atau kecaknaan belia terhadap politik tersangat rendah berbanding minat mereka terhadap hiburan dan sektor pekerjaan mereka.

Peristiwa Brexit dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat mengajar kita akan peri pentingnya generasi muda dalam bersama menentukan pemimpin dan masa depan negara.

Kesan daripada sikap ini akan menatijahkan kelemahan demokrasi negara, kelesuan generasi terhadap dasar-dasar negara dan individualistik.

Malangnya, kebanyakan dasar-dasar dan program belia bagi menangani cabaran-cabaran ini seolah-olah tidak mampu memberikan kejayaan yang diimpikan.

Kelemahan polisi adalah disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kekurangan maklumat mengenai belia untuk dijadikan rempah dalam mereka bentuk polisi.

Koordinasi yang lemah di antara pelbagai agensi kerajaan dan pelaksanaan dasar, kegagalan untuk membumikan dasar bagi menyentuh isu kontemporari belia, seperti belia dan ekonomi, pembangunan belia, sub budaya belia, peralihan belia dan peminggiran belia.

Sebarang polisi perlu bermula dengan pemahaman tentang sifat perubahan belia dan meneroka isu-isu dari perspektif corak kehidupan baru, yang mana generasi muda pada hari ini membuat keputusan yang bersifat individualistik.

Maka terdapat keperluan untuk mewujudkan satu perspektif baru yang menekankan kepelbagaian dan perbezaan, demokrasi dan kesaksamaan dalam berurusan dengan pengalaman belia.

Pada masa yang sama ia perlu menyediakan struktur dan asas-asas untuk menangani isu-isu kebimbangan utama yang telah dibangkitkan oleh belia.

Belia Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk terlibat dalam peranan aktif untuk memajukan diri, masyarakat dan negara.

Pendekatan tiga serangkai yang melihat bahawa generasi belia adalah sasaran benefisiari, belia sebagai rakan kongsi dan set polisi yang mampu membentuk belia sebagai pemimpin.

Pendekatan ini perlu dinamik yang bergantung kepada konteks atau persekitaran yang semasa.

Justeru, golongan belia perlu dilihat sebagai harapan dan bukannya ancaman, ini kerana masa depan Malaysia adalah pada hari ini.

Penumpuan pembinaan belia secara proaktif perlu dilakukan dalam segenap masyarakat rentas kaum, agama, lokaliti dan budaya.

* Ammar Atan bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline