Tuesday November 7, 2017
5:42 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

7 NOVEMBER — Saya ambil maklum pada masalah teknikal berkaitan rangka sawat yang disahkan sebagai punca pesawat jenis Hawk 108 M40-02 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Chukai, Kemaman di Terengganu pada 15 Jun lalu sehingga mengorbankan dua juruterbangnya.

Difahamkan pasukan siasatan khas yang ditubuhkan ekoran kejadian itu mengenal pasti masalah tersebut selepas memeriksa bangkai pesawat berkenaan. 

1. Bukan kali pertama kejadian sedemikian berlaku melibatkan pesawat Hawk yang akhirnya meragut nyawa juruterbang TUDM. Kemalangan pesawat Hawk sudah menghantui kita sejak tahun 1996 lagi seperti yang berlaku di Butterworth (1996), Kampung Kuala Betis (1998), Endau (2006) dan beberapa kejadian lagi. 

2. Jadi ia menimbulkan tanda tanya, apakah penyebabnya kejadian serupa berterusan berlaku? Adakah pemeriksaan dan penambahbaikan dilakukan terhadap pesawat? Apakah tatacara operasi piawai (SOP) tidak diikut sebelum terbang?

3. Pada pandangan saya, pesawat Hawk 108 M40-02 tidak sepatutnya digunakan lagi kerana ia sudah terlalu lama dengan usia mencecah lebih 20 tahun. Ada baiknya Kementerian Pertahanan dan kerajaan mengambil inisiatif dengan membeli pesawat baru yang lebih selamat dengan tingkat ketahanan optimum. Jangan gadai nyawa tentera yang terpaksa bekerja menggunakan pesawat lama dan uzur.

4. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein perlu bertanggungjawab dengan kejadian ini dan beliau wajib pastikan kejadian sama tidak berulang di masa akan datang. 

5. Saya juga menyarankan Kementerian Pertahanan untuk menggunakan peruntukan sebanyak RM3 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan dapat digunakan sebaiknya. Ini penting untuk menambahbaik dan menambah bilangan skuadron jenis Hawk serta beberapa aset lain. 

* Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid adalah ahli parlimen Lumut dan naib pengerusi PKR Perak

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline