Monday October 30, 2017
10:48 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

30 OKTOBER ― Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional memandang serius berkenaan terdapat segelintir petugas, sukarelawan dan artis yang tidak memperolehi bayaran selepas menjayakan Sukan Sea 2017 (KL 2017) yang berakhir pada Ogos yang lalu.

Dengan kejayaan sebagai pemenang keseluruhan pada temasya tersebut, ia sepatutnya menjadi pemangkin kepada kerajaan untuk menyelesaikan segera segala pembayaran yang tertunggak.

Menurut pihak penganjur Malaysian Sea Games Organising Committee (Masoc) dalam kenyataan melalui pegawai unit media dan komunikasinya, ia sudah membayar lebih 50 peratus nilai kontrak untuk persembahan pembukaan dan penutupan bagi pihak kerajaan.

Dalam erti kata lain, pihak MASOC juga masih tergantung kurang daripada 50 peratus bayaran nilai kontrak sepatutnya yang perlu dibayar kepada agensi yang dilantik.

Justeru itu tidak hairanlah jika terdapat segelintir pihak yang belum dilunaskan bayaran walaupun KL 2017 sudah melabuhkan tirai selama dua bulan.

Seharusnya dengan era teknologi terkini, tiada lagi alasan untuk kerajaan melewat-lewatkan bayaran melainkan terdapat isu di sebalik tabir yang cuba disembunyikan.

Janganlah hanya kerana ingin menempa nama di Asia Tenggara baik sebagai penganjur dan juara keseluruhan, kita mengabaikan pihak-pihak lain yang turut menjayakan KL 2017 ini.

Rasulullah juga berpesan dalam hadisnya yang bermaksud “Berikanlah pekerja upahnya sebelum keringatnya kering” (hadis riwayat Ibnu Majah).

Oleh yang demikian, Pemuda Amanah Nasional mendesak agar perkara ini dapat diselesaikan segera bagi menjaga nama baik Kuala Lumpur sebagai penganjur dan pemenang keseluruhan KL 2017 di mata negara-negara Asean yang lain.

Majulah Sukan Untuk Negara.

* Muriza Hazrul Abdul Muhi adalah pengarah biro sukan, keseniaan dan kebudayaan Pemuda Amanah Nasional.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline