Tuesday June 20, 2017
10:00 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

20 JUN — Kegagalan Putrajaya untuk mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 6 peratus terhadap lebih 60 barangan keperluan asas terutama makanan mentah, yang sebelum ini berkadar sifar atau dikecualikan GST, dengan pembatalan saat akhir susulan tentangan awam menggambarkan niat terselindung kerajaan persekutuan agar rakyat terus terbeban demi poket dan kelangsungan politik Barisan Nasional Umno.

Hal ini bukti bahawa ikrar BN atau Umno yang kononnya faham “denyut nadi naluri rakyat” hanya omong-omong kosong dan ungkapan lunak memancing undi. Hakikatnya, cadangan menambahkan bebanan rakyat seumpama ini adalah sebahagian strategi untuk memastikan kantung regim itu sentiasa “sarat” dan sedia pakai untuk disalah guna.

Ternyata kuasa sebenar adalah di tangan rakyat apabila tidak sampai beberapa jam selepas laporan media dan pengesahan oleh ketua pengarah Jabatan Kastam Subromaniam Tholasy mengenai penguatkuasaan GST 6 peratus bermula 1 Julai 2017 bagi produk makanan seperti hasil laut, sayur-sayuran, buah-buahan, rempah-ratus, teh, kopi, bihun, mee, laksa dan pelbagai lagi atas alasan barangan berkenaan “bukanlah kegunaan orang ramai”, kerajaan persekutuan terpaksa membuat pusingan U secara tiba-tiba seolah-olah “terpukul” oleh gelombang kebangkitan rakyat terutama di media sosial.

Setelah mengambil kira potensi impak terhadap pola pengundian yang memihak kepada BN dan Umno pada PRU-14 yang diramalkan tidak lama lagi, cadangan anti-rakyat berkenaan terpaksa dibatalkan.

Namun, tiada penegasan oleh regim BN atau Umno sama ada pembatalan tersebut untuk selama-lamanya, atau hanya bersifat sementara sehingga PRU-14 selesai. Ini belum dihitung kemungkinan kadar piawai GST dinaikkan kepada 8 peratus, malah 10 peratus, jika regim BN atau Umno merasakan mereka mendapat mendapat mandat lebih besar dengan kemenangan hipotetikal dua pertiga kerusi Parlimen pada PRU-14.

Justeru, saya mendesak agar kerajaan persekutuan tegaskan dengan penuh keyakinan bahawa pembatalan pelaksanaan GST 6 peratus bagi lebih 60 barangan ini adalah kekal selamanya. Kegagalan berbuat demikian hanya membuktikan bahawa pembatalan ini tidak lebih daripada muslihat politik untuk mengaburi minda rakyat.

Saya ulangi komitmen Pakatan Harapan yang konsisten dengan hidup rakyat Malaysia tanpa GST, yakni bermula dengan kadar GST sifar bagi semua barangan dan perkhidmatan keperluan asas termasuklah bahan berkaitan makanan, ubatan dan pendidikan kecuali barangan mewah yang tentunya hanya dalam capaian golongan berada dan kaya.

* Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Lembah Pantai, seorang naib presiden PKR

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline