Tuesday November 7, 2017
5:52 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

7 NOVEMBER — Baru-baru ini saya ke kawasan sekitar Parlimen Ledang, kawasan yang boleh dianggap luar bandar dengan penduduknya majoriti sebagai pekebun kecil, petani dan peniaga.

Walaupun tiada tanah rancangan Felda dalam kawasan parlimen berkenaan, namun terdapat kawasan tanah yang telah dan masih diusahakan oleh penduduk dengan tanaman kelapa sawit, getah, nenas, pisang, jambu batu, sayur-sayuran dan lain-lain, seperti mana tanah rancangan. Malah sawah padi juga wujud walaupun tidak begitu luas.

Yang menariknya, tanaman berkenaan kadang-kadang luas namun ada juga yang sebesar satu hingga dua ekar yang terletak berdekatan atau di belakang rumah tuan tanah. Ia masih diusahakan dan mendatangkan hasil. Lantas, pertanian merupakan aktiviti dan tempat pergantungan hidup yang utama untuk penduduk. Lebih banyak hasil maka lebih banyak pendapatan yang boleh diperolehi.

Dalam tinjauan saya sejak beberapa bulan lalu, saya pernah temui penduduk yang telah berkebun puluhan tahun lamanya, mewarisinya dari ibu ayah mereka. Ada yang sudah berusia 60 atau 70 tahun tetapi masih berkebun. Bagi mereka, itulah sumber pendapatan dan kerja hakiki.

Saya pernah berjumpa dengan sepasang suami isteri yang begitu. Bila bertemu saya bertanya beliau, “pakcik baru balik menoreh ke?” Jawab beliau, “ya, belum mandi lagi ni”. Saya tanya lagi, “isteri pakcik mana, ada dalam rumah?”. “Tak, dia belum balik. Menoreh jugak. Saya tengah tunggu dia baliklah ni”, jawabnya dengan telo Jawa. Saya agak usia pakcik tu dalam lingkungan usia 70-an.

Jika dilihat rumah mereka, saya tidak fikir mereka mendapat hasil yang lumayan daripada kerja menoreh, namun saya hormat mereka kerana berdaya usaha mencari pendapatan yang halal. Mereka mungkin tidak miskin tetapi mereka reda dengan apa yang ada dan kekal begitu.

Sebuah lagi keluarga yang saya temui terlibat mengambil upah di kebun nenas. Saya tidak pasti berapa upah yang diperolehi tetapi saya anggarkan mungkin dalam RM50 sehari. Itu pun kalau tidak hujan. Secara kasar, mungkin pendapatan sebulan sekitar RM1,000 hingga RM1,200.

Apakah pendapatan itu memadai? Mungkin ada yang kata memadai memandangkan kos sara hidup yang lebih rendah di Ledang dibandingkan dengan kawasan bandar atau bandaraya. Benarkah?

Saya difahamkan, untuk tanah dengan keluasan kira-kira 1.2 hektar, seseorang penoreh hanya memperoleh 30 kilogram getah sehari berbanding antara 60 hingga 70 kilogram sebelum ini.

Kini, penoreh bukan sahaja menghadapi kejatuhan harga getah tetapi juga terpaksa menangani masalah kurang hasil torehan, menjadikan kehidupan mereka bertambah sukar. Walaupun harga getah mencapai RM4 sekilogram baru-baru ini, namun kenaikan itu masih gagal memuaskan hati pemilik kebun dan penoreh getah.

Menurut penoreh, pendapatan bersih mereka gagal mencecah RM1,000 sebulan, iaitu gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan untuk semua pekerja termasuk pekerja asing.

Selain penoreh, saya percaya nasib pekebun kecil yang terlibat dengan penanaman kelapa sawit, nenas dan jambu batu juga mencabar.

Baru-baru ini saya berkesempatan bertemu dengan seorang pekebun kecil jambu batu di kawasan Sengkang, Tangkak, Johor. Beliau sudah terlibat dalam pertanian sejak 30 tahun dahulu, pernah menanam tembikai susu, tembikai merah, betik dan pisang.

Menurut beliau, dalam 20 tahun lalu, cabaran bertani tidak begitu sukar kerana senang untuk mendapat pekerja, harga baja yang rendah dan tiada cukai GST. Katanya, pada masa itu harga satu beg 50 kilogram baja import hanya RM25 hingga RM30. Sekarang harganya antara RM120 hingga RM140 iaitu lebih tiga kali ganda kenaikan!

Selain itu, dulu katanya, sebotol racun ulat berharga antara RM5 hingga RM10 seliter, kini RM100 seliter. Kosnya telah melambung tinggi. Dengan kejatuhan nilai ringgit dan baja serta racun merupakan produk import maka kos tinggi ini terpaksa ditanggung oleh pekebun kecil.

Menurutnya, hasil yang diperolehi tidak setinggi mana. Jika 10 tahun dahulu, harga sekilo jambu batu ialah seringgit, sekarang pun hanya seringgit lebih sekilo. Mungkin hasil telah meningkat 10 hingga 20 peratus namun kos meningkat lebih tinggi sehingga 300 atau 400 peratus. Dengan kos yang tinggi dan hasil yang lebih kurang sama, bermakna nasib pekebun kecil tidak banyak berubah.

Dalam Bajet 2018, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan besar RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, termasuk RM2.3 bilion bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil, getah dan nelayan.

Peruntukan itu mungkin melegakan pekebun kecil terutama kerana bantuan kewangan dan insentif bahan-bahan namun seperti biasa dengan banyak polisi dan dasar kerajaan Umno Barisan Nasional, ia bersifat jangka masa pendek dan tidak benar-benar meningkatkan hasil dan produktiviti pekebun kecil, justeru gagal meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga.

Antara sebabnya juga ialah secepat mana peruntukan dan bantuan diperolehi maka secepat itu ia habis akibat cukai GST yang tinggi, nilai ringgit yang rendah dan harga barangan yang mahal.

Mungkin kerajaan ada berusaha menganjurkan pelbagai program pembangunan melibatkan pekebun kecil melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Koperasi Pekebun Kecil dan agensi-agensi lain, namun masalah hasil rendah dan kos tinggi yang terpaksa ditanggung oleh pekebun kecil masih tidak dapat ditangani dengan baik.

Yang lebih dikhuatiri dan sering berlaku ialah bantuan kewangan dan insentif tidak sampai kepada pekebun kecil, pesawah atau penoreh, sebaliknya tiris atau bocor di pertengahan jalan. Ada kemungkinan juga terdapat pekebun kecil yang terpinggir daripada bantuan atas sebab-sebab tertentu. Peruntukan besar tinggal sekadar peruntukan dalam bentuk pengumuman sedangkan pelaksanaan dan agihannya belum tentu meluas.

Sejauh manakah Risda dan agensi-agensi pertanian mengambil langkah untuk memastikan penyaluran peruntukan dan bantuan dipercepatkan untuk mengurangkan beban kos pembangunan kebun yang diusahakan serta dapat membantu mengurangkan kos pengeluaran?

Kerajaan wajib membela nasib pekebun kecil dengan bukan sahaja menjanjikan peruntukan besar tetapi benar-benar melihat kembali Dasar Pertanian Negara agar sektor pertanian kembali menjadi salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan sumber bumi yang masih berpotensi besar dan teknologi hijau yang lebih maju di samping cuaca yang menggalakkan, Malaysia sewajarnya berupaya meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran lantas turut meningkatkan pendapatan serta taraf hidup pekebun kecil, petani dan nelayan.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah ketua penerangan PKR

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline