Thursday January 18, 2018
3:01 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

18 JANUARI — Persoalan yang dibangkitkan oleh para pemimpin Umno, menuduh saya menghina dan memperlekehkan Tuanku Sultan Pahang, adalah satu persoalan politik yang cetek dalam mendefinisikan soal kepimpinan.

2. Komen saya adalah beradasarkan hasrat Pakatan Harapan (PH) yang mencalonkan Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri bagi menggantikan Datuk Seri Najib Razak selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

3. Pada hemat saya, cadangan yang dianjurkan oleh PH adalah satu cadangan yang logik dan munasabah kerana pada hemat saya usia bukan penghalang bagi sesuatu kejayaan dan tindakan tetapi segala nilai tangga kejayaan terletak juga kepada daya pemikiran, mental dan idealisma serta pengalaman.

4. Dalam usia 92 tahun, Tun Mahathir masih cergas dalam membuahkan idea dan fikiran di samping berkongsi pengalamannya selama 22 tahun dahulu sebagai perdana menteri. Pada saya, adalah tidak wajar menjadikan usia sebagai penghalang dan isu dalam apa jua situasi, apatah lagi dalam kepimpinan dan pemerintahan. Sekiranya kita menjadikan usia sebagai faktor penyebab bagi segala tindakan dan gerak kerja, maka negara akan mengundang krisis kemanusiaan.

5. Saya sedih apabila pihak tertentu mempersendakan persoalan usia sebagai halangan dalam kehidupan seolah-olah kita menidakkan realiti dunia dan agama. Ramai pemimpin-pemimpin utama negara menjadi pemimpin dan terus memimpin kerana kejayaan kepimpinannya, Maharaja Akhihito berusia 83 di Jepun, Sheikh Sabah berusia 88 menjadi pemerintah Kuwait, Presiden Raul Castro berusia 86 sebagai presiden Cuba, ketua negara United Kingdom Ratu Elezibeth 91, Presiden Beji Caid Essebsi 91 di Tunisia.

Semua mereka ini sehingga kini adalah pemimpin-pemimpin negara yang sah dan tidak terhalang oleh usia yang lanjut. Hatta almarhum Tuanku Abdul Halim Muazam Shah, Yang di-Pertuan Agong kita yang lalu, juga telah mengakhiri pemerintahan baginda sebagai ketua negara Malaysia dengan cemerlang tatkala usia baginda 88 tahun.

6. Oleh itu sekiranya pihak tertentu menjadikan isu usia sebagai bahan politik kepentingan tertentu, maka ia juga seolah-olah mempertikaikan sistem dan adat budaya tradisi kita yang tidak pernah menjadikan usia sebagai hujah untuk menidakkan hak kepimpinan individu sama ada secara politik atau perlembagaan.

7. Namun membesar-besarkan isu keterlanjuran saya menyebut nama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang menunjukkan kebobrokkan dan kebodohan hujah dangkal Umno dalam menghuraikankan erti kepimpinan.

Saya tidak berniat untuk menghina ke bawah DYMM Tuanku Sultan Pahang, malah menyanjung dan menjunjung tuanku untuk terus kekal di puncak takhta negeri Pahang.

8. Jika ungkapan saya telah menimbulkan kemurkaan Pemangku Tuanku Sultan Pahang, patik dengan penuh sembah takzim, patik memohon sembah kemaafan atas keterlanjuran bahasa patik dan mendoakan Allah memberikan kesihatan dan  kesejahteraan Tuanku Sultan Pahang sebagai pemerintah dan pemimpin negeri Pahang Darul Makmur.

‘Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku’

* Datuk Mahfuz Omar adalah ahli parlimen Pokok Sena yang meninggalkan PAS akhir tahun lalu. 

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail. 

Iklan

Iklan

MMO Instagram