Monday February 12, 2018
12:36 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

12 FEBRUARI — Perjalanan selepas pilihan raya umum (PRU) lalu menuju PRU ke-14 satu perjalanan polittik yang penuh dengan drama.

Siapa sangka, dalam perjalanan ini Pakatan Rakyat (PR) yang berjaya menambat hati 51 peratus hati pengundi Malaysia akhirnya terkubur di tengah jalan.

Tun Dr Mahathir Mohammad — yang dulunya antara yang paling lantang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan pemimpin pembangkang — kini duduk sepentas dengan mereka yang menentang Datuk Seri Najib Razak.

Yang lebih dramatiknya, Dr Mahathir bertemu Anwar di mahkamah dan sepakat bersama-sama Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadapi PRU ke-14.

PAS yang dahulunya kelihatan berjuang secara menyeluruh dengan menegakkan keadilan Islam dan menentang korupsi dan kezaliman, kini rakyat tidak tahu apa sebenarnya hala tujunya lagi  dan lebih kerap bersama pimpinan Umno dengan alasan demi Islam.

Kedah yang dipimpin oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah diambil alih oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah. Lebih menarik, Mukhriz telah bersama dengan pihak pembangkang.

Selangor yang dahulunya dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim kini bertukar tangan kepada Datuk Seri Azmin Ali. Kini Khalid entah cenderung kepada PAS atau Umno.

Azmin yang menjadi menteri besar hanya tiga tahun pula bercakap dengan penuh bangga seolah-olah beliau telah mengubah ekonomi Selangor dengan drastik sedangkan satu Malaysia tahu ia telah berlaku pada zaman Khalid lagi.

Peristiwa-peristiwa inilah antara drama yang berlaku sepanjang perjalanan dari PRU13 menuju PRU14.

Dalam keadaan rakyat keliru untuk memilih kerajaan pada PRU nanti, datang pula sekumpulan manusia yang entah dari mana mencadangkan agar kempen #UndiRosak dijalankan semasa pilihan raya umum nanti.

Walaupun ramai cuba menjadi hero seolah-olah merekalah pencetus di sebalik idea #UndiRosak ini, hakikatnya antara yang terawal mencadangkan #UndiRosak ini ialah akhbar China Press yang bertarikh 15 April 2017.

Persoalannya, apa itu #UndiRosak? Siapa pun calon yang bertanding, rakyat diseru agar memangkah semua calon sebagai tanda bantahan.

Maka timbul pula persoalan kedua. Apa perlunya rakyat bangkit membantah semua parti politik? Tidak bolehkah undi mengikut calon? Jawapannya mudah. Saya selaku penyokong gerakan #UndiRosak ini, hanya satu sahaja jawapan buat persoalan ini: angkuh.

Tiada mana-mana parti politik yang ada pada ketika dan saat ini tidak angkuh dalam perjalanan mereka menuju PRU14. Dimulakan dengan parti yang memerintah Barisan Nasional (BN). Keangkuhan BN bukanlah baru.

Sejak perjalanan terdahulu lagi, ramai pemimpin BN yang berani mengeluarkan kenyataan angkuh kerana mereka merasakan mereka tidak mampu dijatuhkan.

Mengeluarkan kenyataan yang dianggap memperkecilkan rakyat, bertindak dengan zalim dan tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah itu, salah guna kuasa dan banyak lagi untuk disenaraikan. Keangkuhan inilah antara punca rakyat mengundi Pakatan Rakyat pada PRU13.

Malangnya, keangkuhan ini merebak pula kepada parti politik pembangkang. Keangkuhan mereka bukan kerana mereka sudah berkuasa, tetapi kerana mereka merasakan rakyat sentiasa bersama mereka.

Lihat sahaja bagaimana Pakatan Harapan yang penuh angkuh merasakan rakyat sentiasa bersama mereka, sehingga sanggup mencipta langkah-langkah bodoh yang mengetepikan rakyat seperti Langkah Kajang dan bersama Mahathir dalam Deklarasi Rakyat.

Pemimpin mereka mempertikai sokongan rakyat kerana kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan yang terbaru, melantik Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri tanpa sedikit pun mengenang kezaliman Mahathir pada rakyat.

Apabila memegang sebuah negeri yang tunggu masa untuk jatuh, Pakatan Harapan sudah mula merasakan bahawa mereka sudah memiliki sokongan padu yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat.

Lihat sahaja bagaimana, ketika isu rundingan kerusi belum selesai, beberapa orang kuat Azmin mula memperkecilkan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana salah faham dalaman yang berlaku. Cukup angkuh dan memualkan.

Tidak kurang juga dengan PAS. Dengan merasakan sokongan pengundi Muslim bersama mereka, kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pimpinan PAS yang lain terhadap parti lawan cukup menjengkelkan.

Kenyataan berbaur angkuh dan keyakinan seolah-olah merekalah yang benar-benar Islam lebih memualkan dan patut dilawan.

Beginilah perjalanan tiga kumpulan parti politik utama sepanjang PRU13 menuju PRU14. Semuanya angkuh dengan kuasa, PAS pula angkuh dengan keislaman mereka. Jangan biarkan mereka terus angkuh.

Ayuh laksanakan #UndiRosak. Apa impaknya? Biar semua parti berubah pada perjalanan mereka yang seterusnya iaitu dari PRU14 ke PRU15.

Jangan termakan pujuk rayu pimpinan parti politik terutamanya Pakatan Harapan untuk rakyat bersatu mengundi mereka. Di awal perjalanan ini, penat dan letih rakyat merayu supaya kamu bersatu, tetapi kamu angkuh dan tidak mempedulikan rakyat dengan terus bertumbuk sesama sendiri. Dekat dengan pilihan raya, merasalah kamu melihat rakyat pula berpecah tidak mahu bersama kamu.

Akhir sekali, jika kempen #UndiRosak ini berjaya mendapat sambutan, kemungkinan besar taktik menjual retorika “Melayu”, “rakyat” dan “Islam” akan berkurang bersama-sama keangkuhan mereka.

* Farhan Zulkefly seorang pelajar sarjana sains politik dan juga penulis buku “Sudahlah Politikus”.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.

Iklan

Iklan

MMO Instagram