Thursday November 9, 2017
1:56 PM GMT+8

Lagi berita

Menu tengah hari Rabu di Warung Bunian: Gulai ayam kampung, sambal udang, terung goreng dan ikan masin. — Foto-foto oleh Helme HanafiMenu tengah hari Rabu di Warung Bunian: Gulai ayam kampung, sambal udang, terung goreng dan ikan masin. — Foto-foto oleh Helme HanafiPUTRAJAYA, 9 Nov — Walau agak tersorok di kawasan perkampungan, Warung Bunian di Sungai Merab dekat sini tetap menjadi buruan ramai.

Menu masakan tengah harinya, yang silih berganti setiap hari, ditunggu-tunggu peminatnya, khususnya dari kawasan sekitar, termasuk staf Putrajaya.

Ingin mencuba sendiri keenakan masakannya, sehingga pernah disiarkan di Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) TV3, kami singgah di sini semalam.

Jalan masuk ke sini agak sempit, ada laluan yang muat sebuah kereta sahaja.

Namun bagi penggemar masakan kampung atau makan berhidang, laluan itu bukanlah alasan. Apa yang penting ia sedap dan kena dengan selera.

Gulai ayam kampung masak lemak cili api, sambal udang galah, terung goreng serta ikan masin bulu ayam menjadi hidangan tengah hari kami sekeluarga.

Plak Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) TV3 dan keratan akhbar yang memberitakan keunikan Warung Bunian.Plak Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) TV3 dan keratan akhbar yang memberitakan keunikan Warung Bunian.Apa yang paling sedap di sini sehingga ia selalu dipenuhi pelanggan?

“Yang pelanggan paling suka gulai ketam masak lemak cili padi tapi menu hari ini gulai ayam kampung masak lemak cili api sahaja,” kata seorang pelayan.

Agak unik di warung ini, selain konsep makan berhidang, pelanggan tidak memilih hidangan tetapi makan menu yang ditetapkan pada hari berkenaan.

Macam kita pulang makan di rumah, hadap saja apa yang disediakan di meja.

Senarai menu harian jelas terpampang bersebelahan dengan kaunter bayaran.

Turut dipaparkan keratan-keratan akhbar berkaitan Warung Bunian, cenderahati program JJCM dan beberapa lagi hiasan ringkas.

Mungkin kerana pelanggan masih belum ramai ketika kami sampai lebih kurang jam 11.45 pagi, lauk-lauk dihidang tidak sampai lima minit setelah duduk.

Makan di sini “dikira berdasarkan kepala”, lauk sampai di atas meja mengikut jumlah “kepala” atau orang yang makan.

Harganya juga dikira berdasarkan “kepala” iaitu RM15 seorang, tidak termasuk minuman dan pencuci mulut.Penulis bersama Juliza Adnan (kanan) yang menceritakan keistimewaan dan sejarah kedainya yang sudah bertapak puluhan tahun.Penulis bersama Juliza Adnan (kanan) yang menceritakan keistimewaan dan sejarah kedainya yang sudah bertapak puluhan tahun.

Kebanyakan minuman di restoran biasa ada di sini, selain air kelapa muda manakala untuk pencuci mulut selain buah ada juga puding dan karamel.

Kuah kuning masak lemak cili apinya tidak cair atau pekat. Lagi pedas lagi sedap, terutama jika dimasak dengan ketam atau udang galah.

Daging ayam kampungnya yang dibuat gulai pula lembut, kena pula dengan sambal udang galah, pelanggan bertambah nasi tanpa sedar.

Menurut pengurus perniagaan keluarga ini, Juliza Adnan semua hidangan dimasak pada hari yang sama untuk mengekalkan kesegarannya.

“Kedai ini sudah lama, lebih daripada usia saya, 26 tahun. Ia asalnya perniagaan emak saya yang menjual sarapan pagi dan tengah hari untuk pekerja-pekerja kilang di kawasan berhampiran,” ceritanya lagi.

Desa Putra nama baru yang diperkenalkan selepas Estet Prang Besar dibangunkan menjadi Putrajaya. Nama lamanya Kampung Limau Manis, tidak jauh dari Bangi.

Ia sebahagian daripada Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) di mana peneroka layak dibenarkan membangunkan kawasan hutan ini.

Pelanggan sedang menikmati makanan tengah hari. Anda dinasihat membuat tempahan awal agar tempat duduk terjamin.Pelanggan sedang menikmati makanan tengah hari. Anda dinasihat membuat tempahan awal agar tempat duduk terjamin.Ramai penduduk kampung itu bekerja di kawasan perindustrian Bangi yang menempatkan banyak kilang besar seperti Hitachi, Sony dan Denso.

Pekerja inilah pelanggan asal Warung Bunian atau nama dalam pendaftaran perniagaannya Tapak Sulaiman.

“Nama Warung Bunian diberikan oleh pelanggan-pelanggan sejak lima tahun terakhir ini, mungkin kerana lokasinya yang terpencil,” jelas Juliza.

Kalau mahu ke sini, elok datang awal sebelum makan tengah hari atau buat tempahan kerana jumlah tempat duduk di warung ini agak terhad.

Ia boleh menampung maksimum 120 orang satu-satu masa, kata Juliza lagi, yang mesra disapa sebagai Alang sahaja.

“Ada yang datang tapi tidak dapat tempat duduk, jadi kasihan pula. Elok telefon dulu. Jika ramai sangat, kami akan buka khemah di bawah,” katanya.

Kedainya di lereng berbukit, menyebabkan kawasan landai terhad. Sebahagian tapak kedai itu rumah keluarganya yang masih dihuni ibu dan abangnya.

Lorong kecil di tepi Warung Bunian yang menampakkan kedudukannya di lereng bukit. Lorong ini terletak antara Jalan Jamaluddin dengan Jalan Haji Ihwan.Lorong kecil di tepi Warung Bunian yang menampakkan kedudukannya di lereng bukit. Lorong ini terletak antara Jalan Jamaluddin dengan Jalan Haji Ihwan.Warung Bunian dibuka setiap hari untuk sarapan antara jam 7 pagi hingga 11 pagi. Menunya nasi lemak telur bungkus dan roti canai “jiwa kacau”.

Makan tengah hari pula bermula jam 11.30 pagi sehingga 2.30 petang untuk lima hari sahaja. Tiada juadah tengah hari pada Jumaat dan Ahad.

Menu makan tengah hari seperti berikut:.

Isnin: Gulai ketam, ikan masak kicap, ayam goreng dan sayur

Selasa: Gulai udang galah, sambal ayam, ikan goreng dan sayur

Rabu: Gulai ayam kampung, sambal udang, terung goreng dan ikan masin

Khamis (sama Isnin): Gulai ketam, ikan masak kicap, ayam goreng dan sayur

Sabtu: Gulai ketam, sambal udang, ayam goreng dan sayur.

Untuk pembaca yang bercadang ke sini, alamat tepatnya No 80 A, Jalan Jamaluddin, Desa Putra, Sungai Merab di Kajang.

Namun, lebih mudah anda menggunakan aplikasi peta Google atau Waze dengan menaip “warung bunian”. Malah anda boleh semak di Google Street View.

Tempahan boleh dibuat awal melalui nombor telefon 017 381 22 46.

* Helme Hanafi, seorang wartawan portal Agenda Daily, baru menerbitkan buku catatan kembara, budaya, sejarah dan makanan di selatan tanah air, Jalan Lain ke Selatan.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline