Monday October 23, 2017
12:34 PM GMT+8

Lagi berita

Beberapa pekerja Willy Satay sedang sibuk membakar sate. Kelas kelihatan stesen minyak Shell di seberang jalan lebuh raya SILK. — Foto-foto oleh Helme HanafiBeberapa pekerja Willy Satay sedang sibuk membakar sate. Kelas kelihatan stesen minyak Shell di seberang jalan lebuh raya SILK. — Foto-foto oleh Helme HanafiKAJANG, 23 Okt — Potongan dagingnya bukan saja besar dan lembut berair tetapi juga rasa rempah serta serai dalam ramuan yang diperapnya cukup membangkitkan selera.

Bersama nasi impit yang dimasak dalam daun pisang, atau ketupat lontong, dengan kuah kacang yang cukup sempurna rasa manis dan pedasnya.

Daging dan nasi impit ini regu yang sangat mesra dan enak, menjadikan Willy Satay warung makan yang popular di kalangan penggemar sate di Kajang.

Willy Satay jenama sate yang masih baru di daerah ini, lebih kurang 10 tahun lalu. Namun ia sudah cukup popular dan menjadi saingan utama sate Kajang terkenal Haji Samuri.

Bahkan, bagi peminat setianya, sate Willy lebih lazat dan enak daripada sate Haji Samuri! Barangkali, sate ini satu-satunya yang boleh mengatasi sate paling popular Haji Samuri.

Saya memilih Ramal Junction, dekat sini, yang menjadi lokasi sate Willy sejak tahun 2008. Ia sebuah medan selera terbuka yang turut menempatkan kira-kira 15 kedai lain, dengan aneka juadah yang boleh dipilih sementara menunggu pesanan sate siap di meja.

Sate Willy tidak sempurna tanpa ketupat lontong di dalam daun pisang, bawang dan timun. Kuahnya lemak, manis dan pedas secukup rasa.Sate Willy tidak sempurna tanpa ketupat lontong di dalam daun pisang, bawang dan timun. Kuahnya lemak, manis dan pedas secukup rasa.Di Ramal Junction Food Court sebenarnya cawangan kedua Willy Satay. Diusahakan Rosman Shahid, ia dibuka pada 2005 di Hassan Café di Taman Sri Ramal, di tepi tapak sekarang.

Walau Kajang ketika itu sinonim dengan sate Kajang Haji Samuri, kehadiran Willy Satay bagaimanapun mendapat sambutan luar biasa menggalakkan.

Apakah istimewanya Satay Willy sehingga ia dapat menyaingi jenama sate yang sudah terkenal di Kajang? Soalan ini bermain-main dalam fikiran saya.

Lalu, di kesempatan cuti umum Deepavali minggu lalu, saya membawa keluarga ke medan selera Sungai Ramal untuk mencari sendiri jawapannya.

Jika menggunakan lebuh raya PLUS, dari Kuala Lumpur atau Seremban, anda boleh keluar di plaza tol Kajang dan menyusur ke kiri, menghala ke Sungai Ramal.

Perhatikan di sebelah kiri anda ada papan tanda Maahad Hamidiah, sekolah agama terkenal yang berdekatan dengan medan selera itu. Ramal Food Junction di kiri lebuh raya SILK.

Penulis beratur bersama peminat sate Willy di medan selera Ramal Junction, Kajang pada kunjungan 18 Oktober 2017.Penulis beratur bersama peminat sate Willy di medan selera Ramal Junction, Kajang pada kunjungan 18 Oktober 2017.Willy Satay nampak jelas kerana asap membakar sate ini boleh dilihat dari tepi lebuh raya itu. Dari jauh kelihatan orang ramai di sebuah medan selera yang tertera Ramal Junction.

Selepas dua kali berpusing mencari tempat letak kereta yang tidak mengganggu laluan orang lain, kami berjalan menghala ke medan selera. Ketika itu jam sudah melepasi 9 malam, namun masih ramai yang seperti kami, baru sampai, menghala ke tempat yang sama.

Bau harum sate tiba-tiba menusuk hidung, terbayang daging berperisa rempah dan serai yang dibakar tidak terlalu kering (juicy) dicicah kuah kacang bersama bawang dan timun.

Aduh, tertelan air liur walau belum menjamahnya. Meski sudah lewat untuk makan malam, tetapi orang masih ramai. Dan, saya terpaksa menyertai pelanggan lain, ikut beratur panjang.

Ketika itu juga mata saya terlihat sekeping kertas di kaunter yang bertulis, “Masa menunggu 45 minit. Terima kasih”. Jadi nasihat saya, elakkan waktu puncak untuk menikmati sate ini.

Untuk yang pertama kali ke sini, jika anda bersama keluarga, pilih meja dahulu, ambil nombor di meja dan baru beratur. Apabila tiba giliran membuat pesanan, berikan nombor meja ke kaunter.

Selepas membuat pesanan dan membayar di kaunter Willy Satay, anda akan diberikan nombor giliran, seperti anda berurusan di bank atau pejabat kerajaan.

Sebahagian pengunjung Willy Satay dan medan selera Ramal Junction. Kelihatan nombor meja yang perlu anda ingat untuk memesan makanan dan minuman. Sebahagian pengunjung Willy Satay dan medan selera Ramal Junction. Kelihatan nombor meja yang perlu anda ingat untuk memesan makanan dan minuman. Malam itu, Rabu lalu, mungkin kerana cuti umum, sate kambing yang dikatakan “best seller” di sini sudah habis. Tinggal, sate daging dan ayam. Sate perut juga habis.

Walau isteri saya sedikit terkilan, tapi keenakan sate daging dan ayam menjadi pengubatnya. “Jika ayam dan daging sudah sesedap ini, bagaimana agaknya sate kambing yang dikatakan paling sedap itu?” soalnya.

Jadi, sebagai pengajarannya, datanglah awal, seawal jam 7.30 malam, jika tidak mahu kecewa. Malah ia dibuka sejak 10 pagi hingga tengah malam.

Elakkan waktu puncak di petang dan malam Jumaat hingga Ahad, atau cuti umum, untuk menikmati sate dalam suasana santai. Parkirnya yang luas selesa untuk kenderaan anda.

Selain Willy Satay yang jelas mendominasi medan selera ini, ada berbagai-bagai makanan lain, antaranya Burger Bakar Abang Burn, Sup Utara Power dan Sempoi ShelLaut.

Harga sate juga munasabah. Secucuk sate ayam dan daging, harganya 90 sen. Sate kambing RM1.20, sate perut sama harga dengan ketupat lontong iaitu RM1.

Nasi impit biasa, yang dimasak dalam plastik kecil, pula harganya 90 sen satu bungkus. Namun saya sarankan anda mencuba ketupat lontong, hidangan unik yang sukar dicari.

Dalam sehari, sate Willy boleh dijual sekitar 10,000 ke 15,000 cucuk di medan selera ini sahaja; tidak termasuk cawangan di Nilai serta kedai francais di Bandar Seri Putra.

* Helme Hanafi, seorang wartawan portal Agenda Daily, baru menerbitkan buku catatan kembara, budaya, sejarah dan makanan di selatan tanah air, Jalan Lain ke Selatan.

Iklan

Iklan

MMO Instagram