Monday October 30, 2017
10:48 AM GMT+8

Lagi berita

Mi bandung Parit Bulat, Muar berkuah pekat dengan perisa udang geragau. Dua ekor udang galah menaikkan lagi seri. ― Foto oleh Helme HanafiMi bandung Parit Bulat, Muar berkuah pekat dengan perisa udang geragau. Dua ekor udang galah menaikkan lagi seri. ― Foto oleh Helme HanafiKAJANG, 30 Okt ― Tiba-tiba heboh dalam kumpulan WhatsApp kejiranan kami mengenai restoran baru selang beberapa pintu dari Pejabat Pos Bandar Seri Putra. 

Khabarnya, mi bandung di situ, di restoran Rebung Manis, sedap sungguh. Sama enaknya dengan mi bandung yang berasal dari Muar. 

Saya tidak menunggu lama untuk sampai ke restoran ini yang baru beberapa minggu diambil alih oleh Sulaiman Abdul Naim.

Beliau generasi ketiga yang mewarisi perniagaan mi bandung Parit Bulat di Muar, Johor sejak 50 tahun lalu.

Untuk kali pertama, saya beli bungkus dan makan di rumah. Aduh memang enak. 

Mi bandungnya berkuah pekat, udang geragau terasa dalam setiap hirupan. Dua ekor udang galah menaikkan lagi seri. Sah mi bandung original dari Muar.

Ramai yang keliru dengan nama mi bandung sebenarnya. Mereka mengaitkan dengan Bandung, kota terkenal di Indonesia.

Sekumpulan pengunjung restoran Rebung Manis yang menikmati hidangannya, termasuk nasi lemak dan mi bandung Parit Bulat. ― Foto oleh Helme HanafiSekumpulan pengunjung restoran Rebung Manis yang menikmati hidangannya, termasuk nasi lemak dan mi bandung Parit Bulat. ― Foto oleh Helme HanafiSedangkan mi bandung bermaksud “mi berpasangan” iaitu mi yang digandingkan dengan telur, atau hirisan daging halus, atau udang dan sotong.

Saya naik hairan pula, bagaimana mi bandung Parit Bulat ini boleh sampai ke Bandar Seri Putra, Selangor?

Bagi mencari jawapannya, saya bertemu pemilik Rebung Manis. Rupa-rupanya Sulaiman mengikut anaknya yang berpindah ke satu taman berdekatan sini. 

Berniaga sejak hampir 15 tahun lalu, beliau membuat keputusan meneruskan warisan keluarganya dengan menjual mi bandung kegemaran ramai.

“Mi bandung Parit Bulat antara mi bandung yang awal di Muar, kira-kira 50 tahun lalu,” kata Sulaiman kepada ProjekMMO minggu lalu.

“Pengasasnya Rahmat memperolehi resepi ini ketika bekerja di Singapura. 

“Apabila balik kampung di Parit Bulat, beliau membuka warung dan berniaga mi bandung dan sejak itu ia terkenal sehingga ke hari ini.” 

Sulaiman Abdul Naim menceritakan sejarah dan rahsia keenakan mi bandung Parit Bulat, Muar di restorannya di Bandar Seri Putra. ― Foto oleh Helme HanafiSulaiman Abdul Naim menceritakan sejarah dan rahsia keenakan mi bandung Parit Bulat, Muar di restorannya di Bandar Seri Putra. ― Foto oleh Helme HanafiKeistimewaan mi bandung ini terletak pada kuah pekat yang cukup rasanya.

“Ada yang dakwa kami guna dadah, sebab orang jadi ketagih,” katanya, ketawa mengenang kemasyhuran jenama mi bandung Parit Bulat.

Memang sekali imbas tidak nampak keistimewaannya tetapi apabila terkena lidah, terasa sekali kelainan dengan mi bandung yang banyak dijual.

Ada yang mengubah rasanya dengan memasukkan bahan masam seperti tomato atau tomato puri, mungkin untuk tidak menguatkan rasa manis. 

Tapi itu bukan mi bandung asli atau original. Mi bandung dari Muar cukup dengan ramuan biasa, seperti sawi dan adunan telur, daging dan udang. 

Kuahnya daripada udang kering dan air rebusan daging atau udang turut digunakan.

Mi bandung Parit Bulat di Bandar Seri Putra ini cukup syarat semuanya bagi yang biasa dengan sajian mi bandung original Muar.

Restoran ini juga menjual pes mi bandung, sebekas untuk lima orang makan harganya RM15. ― Foto oleh Helme HanafiRestoran ini juga menjual pes mi bandung, sebekas untuk lima orang makan harganya RM15. ― Foto oleh Helme HanafiHarganya juga murah, semangkuk mi bandung bersama dua ekor udang galah berharga RM7.

Selain mi bandung, restoran Rebung Manis juga menyediakan nasi lemak yang enak dimakan bersama ikan bakar, sate dan juga kuetiau udang. 

Terletak di Jalan Seri Putra 1/5, ia dibuka dari jam 6 petang sehingga 11 malam. Biasanya waktu puncak sekitar jam 8 sehingga 10 malam.

Pelanggan boleh memilih untuk berada di dalam restoran yang berhawa dingin atau di luar restoran dengan meja yang disusun ala-ala kedai mamak.

Dan bagi yang ingin membuat sendiri mi bandung Parit Bulat di rumah, Sulaiman juga menjual pes mi bandung. Sebekas untuk lima orang makan harganya RM15.

Dari lebuh raya PLUS, anda perlu membelok ke kiri sebanyak dua kali. Sampai lampu isyarat pertama, belok ke kiri dan selepas simpang, belok ke kiri lagi.

Cari Jalan Seri Putra 1/5 atau pejabat pos Seri Putra, restoran Rebung Manis sebaris dengannya. Atau, semak sahaja di peta Google.

* Helme Hanafi, seorang wartawan portal Agenda Daily, baru menerbitkan buku catatan kembara, budaya, sejarah dan makanan di selatan tanah air, Jalan Lain ke Selatan.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline