Tuesday January 9, 2018
3:33 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Kembalinya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri boleh merosakkan negara, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. ― Foto Bernama Kembalinya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri boleh merosakkan negara, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. ― Foto Bernama KUALA LUMPUR, 9 Jan — Kembalinya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri boleh menyebabkan kerosakan kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Dr Mahathir akan mengulangi kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukannya sepanjang menjadi perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir  yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  sebagai calon perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Ini merupakan satu tindakan kitar semula dan akan membuatkan rakyat melihat  bahawa  tidak ada tokoh lain dalam Pakatan Harapan yang lebih layak menjadi perdana menteri, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini, hari ini.

Pada Ahad lepas, Pakatan Harapan turut  mengumumkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Terdahulu, Ahmad Zahid menggesa kelab pencegahan jenayah di peringkat sekolah diisi dengan pelbagai program dan aktiviti selain daripada ceramah bagi mendedahkan para pelajar tentang bahaya jenayah dan cara mengelaknya.

Katanya, pihak sekolah perlu melaksanakan program berbentuk berhikmah dan mempunyai maksud tersirat termasuk menerusi kerjasama dengan pihak lain seperti Polis Diraja Malaysia agar pelajar dapat menghayati akibat kesalahan jenayah.

Beliau juga berkata Malaysia mempunyai pelbagai undang-undang bagi kesalahan juvana, namun ada antaranya perlu dikaji semula supaya ia tidak hanya menghukum semata-mata tetapi juga dapat memberikan pendidikan.

“Sebagai contoh kokurikulum yang diajar di Sekolah Henry Gurney telah berkesan kepada pelaku jenayah kanak-kanak atau juvana berbanding diletakkan mereka di penjara,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Konvensyen sehari anjuran MCPF Kuala Lumpur  itu disertai  warga pendidik dari Kuala Lumpur dan Putrajaya bertujuan memberi pendidikan pencegahan jenayah dan meningkatkan kesedaran tentang trend semasa jenayah. ― Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline