Monday August 7, 2017
6:27 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Jamil berkata proses pensijilan inisiatif pantas itu dibahagikan kepada barangan sensitif dan barangan tidak sensitif. — Foto oleh Saw Siow FengJamil berkata proses pensijilan inisiatif pantas itu dibahagikan kepada barangan sensitif dan barangan tidak sensitif. — Foto oleh Saw Siow FengPUTRAJAYA, 7 Ogos — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berkompromi dalam aspek integriti sijil halal walaupun proses kelulusan sekarang lebih pantas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata meskipun insiatif pantas bagi proses Sijil Pengesahan Halal Malaysia diperkenalkan Jakim bagi memendekkan proses kelulusan daripada sebulan kepada hanya tiga hari bekerja, ia bukanlah bermakna Jakim akan memberi kelulusan dengan mudah.

“Kita mendengar keluhan syarikat yang mahu mendapatkan sijil dengan segera demi kemajuan syarikat mereka.

“Tetapi dalam masa yang sama Jakim berdepan cabaran bagi meyakinkan orang ramai dan masyarakat antarabangsa.

“Khususnya bahawa sijil halal yang dikeluarkan Jakim adalah benar-benar tulen dan penuh berintegriti,” katanya.

“Kita akan memastikan proses pemberian sijil halal dilakukan dengan penuh integriti yang mana tiada kompromi yang boleh menyebabkan sijil ini disalah guna dan sebagainya,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Industri Melalui Inisiatif Pantas di sini hari ini.

Jamil Khir berkata dalam proses mempercepatkan proses pemberian sijil dan tidak mahu ‘tersalah beri’ maka proses pensijilan inisiatif pantas itu dibahagikan kepada barangan sensitif dan barangan tidak sensitif.

Jelasnya barangan yang sensitif adalah produk yang berkaitan hal-hal rumah sembelihan yang memerlukan pihak Jakim turun ke lapangan untuk melakukan audit serta produk yang mudah bercampur dengan barangan tidak halal seperti produk daging.

“Produk ini memerlukan penelitian yang berbeza dan mengambil tempoh yang berbeza dan lebih lama berbanding inisiatif pantas yang kita perkenalkan,” katanya. — Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline