Sunday September 17, 2017
8:34 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Seri Najib Razak diiringi Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika melawat mangsa kebakaran yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur hari ini. — Foto BernamaDatuk Seri Najib Razak diiringi Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika melawat mangsa kebakaran yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur hari ini. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 17 Sept — Tiga pelajar pusat tahfiz di sini yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kebakaran pusat itu awal Khamis, dibenarkan pulang malam tadi.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata kesemua mangsa terbabit dibenarkan keluar selepas keadaan mereka stabil.

Mereka akan diberi rawatan susulan bagi membantu mereka yang berada dalam keadaan trauma, katanya ketika ditemui pemberita di HKL di sini, hari ini.

Dengan perkembangan itu, empat lagi yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tahap melecur antara 20 dan 30 peratus, katanya.

Dr Zaininah berkata mangsa yang berada di ICU tidak dibenarkan menerima pelawat walaupun daripada anggota keluarga sebagai langkah pencegahan berlakunya jangkitan kuman.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran 5.15 pagi di asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha ketika ditemui berkata kebanyakan pusat tahfiz telah mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan kerajaan-kerajaan negeri.

Othman berkata hanya beberapa premis yang tidak menepati dan ia perlu diteliti semula aspek keselamatan bangunan mereka.

Dalam garis panduan itu ada aspek keselamatan yang perlu dipatuhi dan mesti diperiksa secara berkala serta menepati piawaian yang ditetapkan bomba dan lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan, katanya. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline