Monday July 25, 2016
3:56 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Punca utama rakyat Malaysia berkahwin di selatan Thailand adalah kerana hendak berpoligami tetapi tidak dipersetujui oleh isteri atau mendapat tentangan keluarga, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar. ― Foto oleh Choo Choy MayPunca utama rakyat Malaysia berkahwin di selatan Thailand adalah kerana hendak berpoligami tetapi tidak dipersetujui oleh isteri atau mendapat tentangan keluarga, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar. ― Foto oleh Choo Choy MayKANGAR, 25 Jul ― Lebih 2,000 pasangan rakyat Malaysia berkahwin di selatan Thailand dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Menurut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar, pada tahun lepas sahaja seramai 4,081 pasangan rakyat Malaysia berkahwin di negara jiran itu.

Katanya angka tersebut hanya bagi pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat Konsul supaya mereka boleh mendaftar semula dan mengesahkan perkahwinan apabila pulang ke tanah air.

"Pasangan yang tidak mendaftarkan perkahwinan di pejabat Konsul akan menghadapi kesukaran untuk mengesahkan perkahwinan mereka di Malaysia kelak," kata Mohd Afandi.

Beliau dihubungi Bernama di Songkhla hari ini untuk mengulas usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam (MAI) lima wilayah di Selatan Thailand untuk memperkemaskan syarat-syarat kebenaran pasangan rakyat Malaysia yang hendak berkahwin di negara tersebut.

Ia adalah susulan persidangan pengurusan nikah cerai membabitkan ketua-ketua Pendaftar Nikah dan Cerai seluruh negara dengan MAI wilayah Satun, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Yala selama tiga hari di sini minggu lepas.

Mohd Afandi berkata majoriti yang berkahwin itu membabitkan pasangan sesama rakyat Malaysia dan sedikit sahaja dengan rakyat asing.

Katanya punca utama rakyat Malaysia berkahwin di negara jiran itu kerana hendak berpoligami tetapi tidak dipersetujui oleh isteri atau mendapat tentangan keluarga.

"Apapun alasan, MAI lima wilayah tersebut bersetuju dengan alasan kita bahawa setiap pasangan yang hendak berkahwin perlu mendapat kebenaran bersurat daripada pihak berkuasa di Malaysia tetapi masalahnya ialah masih ada pasangan yang hendak berkahwin menggunakan khidmat sindiket," tambahnya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Khairi Hasan berkata kerajaan negeri sedang mengambil tindakan untuk mempermudahkan prosedur bagi pasangan yang berkahwin di selatan Thailand mendaftar perkahwinan mereka di negeri ini.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan prosedur tersebut, sebaliknya berkata: "Ia sangat mudah". ― Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline