Last updated Friday, December 09, 2016 5:24 am GMT+8

Wednesday October 19, 2016
9:13 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Anggota unit forensik polis mengangkat mayat mangsa bunuh yang ditemui di tempat letak kereta pejabat Maidam di Kuala Terengganu, 16 Oktober 2016. — Foto BernamaAnggota unit forensik polis mengangkat mayat mangsa bunuh yang ditemui di tempat letak kereta pejabat Maidam di Kuala Terengganu, 16 Oktober 2016. — Foto BernamaKUALA TERENGGANU, 19 Okt — Selepas empat hari menyembunyikan diri, suspek utama kes bunuh bakal abang ipar akhirnya diberkas polis tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan ketika sedang berjalan di Jalan Jeram, Manir di sini.

Katanya, suspek kelihatan agak lemah dan kelaparan setelah empat hari menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa.

“Kita percaya suspek keluar untuk mencari makanan selepas bersembunyi di dua lokasi dipercayai di kawasan rumah kosong serta kawasan padang berhampiran kampung berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi Ahad lalu, suspek dipercayai bertindak agresif dengan menikam mangsa Mohd Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali sehingga mati di tempat letak kereta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (Maidam) di sini.

Insiden itu dikatakan bermula apabila mangsa, yang merupakan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, hadir di tempat kejadian bersama keluarganya bagi menyemak status perkahwinan suspek yang bakal berkahwin dengan adik mangsa.

Setelah tembelang sebenar suspek diketahui, dipercayai berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa hingga membawa kepada pembunuhan tersebut.

Menurut Wan Abd Aziz, kira-kira pukul 1.40 tengah hari semalam, seorang tukang rumah yang juga rakan mangsa tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi menyerahkan pisau yang digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, selepas kejadian tersebut suspek berjumpa rakannya itu di Manir bagi menyerahkan pisau berkenaan dan meminta tukang rumah tersebut menyimpannya.

“Suspek sempat memaklumkan kepada rakannya bahawa dia telah menikam orang dan memintanya menyimpan pisau sepanjang 35 sentimeter (cm) itu.

“Setelah membaca akhbar berhubung insiden itu lelaki berkenaan berasa takut dan mengambil keputusan menyerahkannya kepada polis,” katanya.

Ahad lalu, rakan suspek yang bertindak sebagai pemandu serta bapa saudaranya telah ditahan kira-kira pukul 4.30 petang dan 4.45 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan balai polis Manir.

Kedua-dua mereka yang berusia 27 dan 55 tahun itu diberkas dalam dua serbuan berasingan dan polis turut merampas kereta Honda Ferio yang digunakan sebelum suspek melarikan diri dengan motosikalnya.

Menurut Wan Abd Aziz, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline