Tuesday August 15, 2017
10:09 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Emilia Lisa Sterjova tertarik dengan keunikan budaya Malaysia, membuatkannya ingin  kembali lagi ke sini. ― Foto oleh Choo Choy MayEmilia Lisa Sterjova tertarik dengan keunikan budaya Malaysia, membuatkannya ingin kembali lagi ke sini. ― Foto oleh Choo Choy May

BANGI, 15 Ogos ― Berusaha keras mendalami bahasa Melayu, gadis Australia ini menjadikan internet satu-satunya wahana bagi memantapkan lagi penguasaan kosa katanya.

Emilia Lisa Sterjova berkata tiada rakan untuk bertutur bahasa Melayu menjadikan dialek percakapannya lebih ke arah bahasa Indonesia.   

“Saya berasa sedikit sedih tetapi gembira dengan pengalaman ini kerana ia sesuatu yang luar biasa. Saya juga cintakan Malaysia walaupun belum pernah berkunjung ke sini.

“Di Australia, tiada bahasa Melayu di universiti atau sekolah, jadi saya menggunakan bahasa Indonesia dan menulis pidato sendiri.

“Saya mencari di internet, kata-kata dalam bahasa Melayu. Sangat sulit untuk saya tetapi saya perlu bekerja keras,” katanya kepada ProjekMMO.

Siswi La Trobe University, Melbourne ini merupakan peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2017 dan berjaya melangkah ke peringkat suku akhir.

Emilia, 20, merupakan pelajar diploma hubungan antarabangsa dan bahasa Indonesia namun mencabar diri berpidato dalam bahasa Malaysia.

“Saya belajar bahasa Indonesia di sekolah dan universiti kerana negara itu dekat dengan Australia.

“Ibu berkata ia akan membantu saya pada masa depan kerana saya menyukai hubungan antarabangsa.

“Saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan politik sama ada di Malaysia atau Indonesia,” katanya dengan tersekat-sekat menyusun kata.

Apa yang menarik, Emilia merupakan ahli majlis daerah termuda di Victoria, Australia selepas mengangkat sumpah tahun lalu pada usia 19 tahun.

Bernaung di bawah Parti Buruh, Emilia merupakan ahli majlis daerah Whittlesea sehingga 2020 selepas diundi penduduk di kawasan itu.

“Penduduk yang bermasalah biasanya akan menelefon atau emel dan saya akan berbincang dengan pihak atasan.

“Kalau tidak cukup wang, saya akan bantu mereka dengan petisyen mengumpul tandatangan untuk di bawa ke perjumpaan majlis setiap tiga minggu.

“Jika petisyen itu gagal, saya akan menghubungi wakil negeri bagi meminta pertolongan,” katanya.

Emilia berkata kekurangan prasarana antara masalah yang dihadapi penduduk dan ia sedang diselesaikan pihak majlis.

Katanya, golongan muda juga memerlukan pusat aktiviti bagi membolehkan mereka berkumpul dan berpersatuan.

“Di sana masih ada kesesakan lalu lintas. Jalannya kecil tetapi ramai orang.

“Banyak orang muda kurang beraktiviti. Saya cuba membeli bangunan untuk mereka dan membina pusat kegiatan belia,” katanya.

Ditanya perkara yang akan dirindui apabila meninggalkan Malaysia, Emilia berkata rakyat di sini beruntung tidak berdepan cuaca sejuk.

Katanya, budaya yang diamalkan di Malaysia juga unik membuatkannya mahu kembali lagi ke sini.

“Sekarang musim sejuk di Australia. Sangat sejuk jadi saya sangat gembira di sini. Saya suka musim panas.

“Saya suka pakaian Melayu dan batik. Lagu juga sangat sedap didengar dan tariannya juga unik,” katanya.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline