Saturday August 26, 2017
8:08 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Seramai 1,280 murid dan 90 guru serta kakitangan SK Kempadang pada Majlis Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan 2017 peringkat sekolah semalam. — Foto BernamaSeramai 1,280 murid dan 90 guru serta kakitangan SK Kempadang pada Majlis Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan 2017 peringkat sekolah semalam. — Foto Bernama

KUANTAN, 26 Ogos — Celup tangan ke dalam bekas mengandungi cat berwarna merah, putih, biru dan kuning, sebelum tapak tangan ditekap dari tembok ke tembok sekolah untuk  membentuk mural Jalur Gemilang sepanjang 40 meter bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Itulah inisiatif yang diambil oleh seramai 1,370 murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Kempadang di sini dalam usaha menzahirkan perasaan sayang dan cintakan tanah air.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kempadang, Paiza Md Don berkata pihak pengurusan sekolah cuba melakukan kelainan untuk sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini dalam usaha melibatkan lebih ramai pelajar dan kakitangan sekolah sekali gus meninggalkan kenangan bermakna kepada mereka yang terlibat.

“Sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah telah bermula pada 15 Ogos lalu dan majlis penutupan akan diadakan pada 15 September depan dengan pertandingan pakaian beragam Jalur Gemilang.

“Setiap tahun kita membuat sambutan berbeza untuk menerapkan semangat patriotisme di kalangan murid agar generasi muda yang lahir dari sekolah ini tahu menghargai erti kemerdekaan yang kita kecapi selama ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Paiza berkata idea itu timbul ketika sesi perbincangan bersama guru-guru untuk menjadikan sambutan bulan kemerdekaan sekolah itu tahun ini yang bertemakan ‘Kami Anak Merdeka’ ini lebih menarik dan mereka turut memakai topi bertemakan kemerdekaan yang dibuat sendiri untuk memeriahkan acara.

Menurutnya kebelakangan ini semakin ramai di kalangan golongan muda cetek akal untuk menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan tidak mahu menelusuri kembali sejarah perjuangan dalam mencapai kemerdekaan.

“Penghayatan ini perlu bagi memberi suntikan semangat kepada generasi muda di awal usia agar dapat bersama berusaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang dipertahankan oleh pejuang kemerdekaan sejak dahulu lagi,” katanya.

Sementara itu, penasihat pendidikan SK Kempadang, Stefani Clark, 50, turut menzahirkan rasa kagum melihat semangat kemerdekaan dan kerjasama di kalangan warga sekolah tersebut.

“Aktiviti kenegaraan sebegini dapat memupuk semangat cintakan negara yang lebih mendalam malah mencungkil sisi kreatif murid dalam menyatakan rasa cinta mereka kepada negara,” katanya. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline