Friday May 19, 2017
8:21 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Sebastian Vettel yang mewakili pasukan Ferrari berhenti seketika dalam pertandingan Formula 1 di litar Sepang pada 1 Oktober 2016. — Foto ReutersSebastian Vettel yang mewakili pasukan Ferrari berhenti seketika dalam pertandingan Formula 1 di litar Sepang pada 1 Oktober 2016. — Foto ReutersBANGKOK, 19 Mei ― Sepang International Circuit (SIC) masih mengkaji pelbagai cadangan daripada beberapa pihak yang mahu ia menganjurkan acara-acara mereka bagi menggantikan perlumbaan Formula 1 (F1).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya diaju dengan pelbagai cadangan sejurus Malaysia mengumumkan ia tidak akan lagi menganjurkan perlumbaan F1 mulai tahun depan.

“Kita masih dalam proses membuat kajian dan tidak terburu-buru untuk menganjurkan acara bagi menggantikan F1.

“Banyak aktiviti di litar yang boleh kita anjurkan, kita masih mengkaji pilihan yang ada,” katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam promosi jualan tiket Grand Prix Malaysia F1 di sini, semalam.

Selepas menganjurkan perlumbaan F1 selama 19 tahun bermula pada 1999, acara itu bakal melabuhkan tirainya di Malaysia dengan perlumbaan terakhir akan berlangsung tahun ini bermula 29 Sept hingga 1 Oktober.

Tanpa perlumbaan F1, Razlan menegaskan ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada SIC untuk memenuhi kalendar aktiviti di Litar Sepang.

Menurutnya, sejak lima tahun lepas kadar pengisian aktiviti Litar Sepang melebihi 90 peratus.

“Tiada masalah (untuk mengisi acara di Litar Sepang selepas berakhir F1), masalah kita adalah kita tidak mempunyai banyak hari dalam setahun atau jam dalam sehari (bagi memboleh litar disewa),” katanya.

Litar Sepang, katanya akan dilengkapi sistem lampu pada akhir tahun ini yang akan membolehkan SIC memanjangkan tempoh sewaan selama enam jam lagi pada waktu malam.

SIC menurutnya mempunyai pelbagai sumber perolehan alternatif selain sewaan litar termasuk beberapa kemudahan yang akan dibina tidak lama lagi seperti hotel, taman tema dan sebagainya.

Bagi perlumbaan F1 terakhir di Malaysia tahun ini, Razlan menjangkakan pengurangan mendadak harga tiket akan menarik kehadiran lebih ramai pengunjung terutama warga tempatan untuk menyaksikan perlumbaan.

Dengan harga antara RM169.68 dan RM336.18, mereka dapat menonton perlumbaan F1 di Litar Sepang tahun ini.

Razlan berkata secara konservatif, SIC menyasarkan 80 peratus daripada kapasiti penonton di Litar Sepang akan dipenuhi penonton kali ini.

“Dengan 80 peratus kapasiti, ia adalah 23 peratus lebih tinggi daripada jumlah penonton pada perlumbaan F1 tahun lepas,” katanya sambil menambah jualan tiket telah mencapai 15 peratus setakat ini.

Memandangkan tempoh untuk membeli tiket masih panjang sebelum perlumbaan pada Oktober, beliau menjangkakan pembelian akan bertambah apabila pihaknya meningkatkan usaha pemasaran dan promosi.

SIC mengharapkan peminat tempatan akan mengambil peluang menyaksikan perlumbaan F1 terakhir di Malaysia sebelum ia ‘berehat’ sementara, kata Razlan. ― Bernama

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline