Saturday November 4, 2017
8:54 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Kawasan di sekitar masjid negeri di George Town turut dinaiki air banjir kilat, 15 September 2017. — Foto ihsan Facebook/Azman HajKawasan di sekitar masjid negeri di George Town turut dinaiki air banjir kilat, 15 September 2017. — Foto ihsan Facebook/Azman HajGEORGE TOWN, 4 Nov ― Beberapa kawasan di sekitar Pulau Pinang dilanda banjir kilat mencecah paras 0.2 hingga 0.5 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat kira-kira  lima jam sejak pukul 2 petang hari ini.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas di sini ialah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson, Halaman Bukit Gambir serta di Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Ferringghi, Balik Pulau dan beberapa kawasan di Seberang Perai.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, paras  air sungai di Sungai Pinang, Sungai Air Itam dan Sungai Dondang  mencecah paras bahaya dengan bacaan  2.83 Meter di Sungai Pinang, dan 6.58 meter serta 21.88 meter  bagi Sungai Air Itam dan Sungai Dondang.

Tinjauan di sekitar Jalan P Ramlee mendapati rumah penduduk di sekitar kawasan itu dinaiki air sehingga paras pinggang dan kawasan itu kerap dilanda banjir kilat jika berlaku hujan lebat.

Seorang penduduk Abdul Karim Abdul di Jalan P Ramlee berkata kejadian banjir kilat di kawasan itu hari ini seperti tiada kesudahan kerana boleh dikatakan setiap kali hujan lebat lebih sejam, rumah mereka iazimnya akan dinaiki air.

"Kami sudah letih dengan kejadian banjir kilat ini, penduduk sentiasa kena bersiap sedia dan boleh dikatakan kami sudah tidak membeli kelengkapan rumah dan barang elektrik kerana asyik rosak setiap kali rumah dinaiki air.

"Penduduk di sini harap kerajaan negeri dapat buat sesuatu atau selesaikan masalah banjir kilat di sini, boleh dikatakan tahun ini sahaja lebih 20 kali air masuk rumah bila hujan lebat," katanya di sini hari ini.

Penduduk di Jalan P.Ramlee dan kawasan berdekatan itu dipindahkan oleh anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan menaiki bot ke lokasi lebih tinggi dan selamat .

Manakala gerai makan di sekitar Astaka Jalan Perak juga dinaiki air menyebabkan sebahagian besar peniaga terpaksa menutup gerai kerana bimbang air semakin naik.

Selain itu, kejadian runtuhan bongkah batu turut berlaku di Jalan Tun Sardon, iaitu laluan ke Balik Pulau, namun difahamkan runtuhan itu tidak menghalang laluan dan lalu lintas masih dibuka kepada pengguna jalan raya.

Banjir kilat hari ini turut menyebabkan lebih 50 kawasan dinaiki air, kebanyakannya di sebelah Seberang Perai antaranya Permatang Rawa; Taman Bagan; Taman Cantek; Mak Mandin; Jalan Guar Perahu; Jalan Raja Uda; Jalan Bukit Tengah; Taman Mutiara; Jalan Tembikai; Bukit Mertajam; Taman Usaha; Lorong Usahajaya; Taman Senangin; Taman Nibong Tebal; Jalan Bukit Teh; Kampung Baru Sungai Bakap; Kampung Sethu; Lorong Janggus dan Taman Sukun.

Laporan dikeluarkan JPS daerah SPT menunjukkan banjir berpunca daripada hujan lebat yang berterusan serta paras air sungai tinggi yang bertembung  dengan air pasang  menyebabkan limpahan air berlaku dengan cepat.

Selain itu, JPS juga menyatakan sistem perparitan kampung dan taman yang dipenuhi  sampah sarap menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik dan melimpah keluar daripada saliran.

Kejadian banjir kilat itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar George Town, Bayan Lepas, Bayan Baru, Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan Juru dan beberapa jalan turut ditutup kerana dinaiki air. ― Bernama

Iklan

Iklan

MMO Instagram