Last updated Sunday, September 25, 2016 11:45 am GMT+8

Friday September 23, 2016
12:11 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Sime Darby merupakan ejen jualan jenama Caterpillar dan Hyundai di Malaysia. ― Foto failSime Darby merupakan ejen jualan jenama Caterpillar dan Hyundai di Malaysia. ― Foto failKUALA LUMPUR, 23 Sept — Perniagaan jentera jenama Caterpillar dan Hyundai oleh syarikat gergasi tempatan Sime Darby Berhad hanya melibatkan kawasan di Asia Pasifik, jelas sumber selepas satu gesaan boikot anti-Israel.

Menurut sumber dalaman syarikat multinasional itu, walaupun jentera Caterpillar dari Amerika Syarikat dan Hyundai dari Korea Selatan didakwa digunakan untuk kerja menzalimi rakyat Palestin, namun Sime Darby hanyalah pengedar di kawasan yang dinyatakan.

“Kami pengedar jentera berat Caterpillar di Asia Pasifik maknanya kami hanya menjual di kawasan itu sahaja. Bukan di Israel.

“Kami jual kereta Hyundai. Di Israel yang dimaksudkan ialah jentera berat. Kami tak jual jentera berat Hyundai. Itu syarikat lain,” kata sumber itu kepada ProjekMMO.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) semalam mendakwa sudah mengadakan pertemuan bersama presiden dan ketua eksekutif Sime Darby Berhad pada Julai lalu berkenaan hal ini.

Boycott, Divestment and Sanction (BDS) Malaysia berkata pertemuan bersama Tan Sri Mohd Bakke Salleh itu bagi memberi tekanan kepada Caterpillar dan Hyundai agar memutuskan hubungan dengan Israel.

Namun dalam satu surat terbuka kepada Bakke, pengerusi BDS Malaysia Prof Dr Mohd Nazari Ismail berkata pihaknya masih menunggu keputusan dan tindak balas Sime Darby seperti dijanjikan Bakke.

Bercakap kepada ProjekMMO, sumber itu berkata satu notis makluman sudah dihantar kepada dua syarikat berkenaan namun masih menunggu maklumbalas mereka.

Katanya, keuntungan perniagaan jentera itu di Asia Pasifik membawa pulangan kepada mereka yang melabur dalam amanah saham.

“Keuntungan Sime Darby untuk rakyat Malaysia juga. Keuntungan yang kami dapat akan diberi dalam bentuk dividen kepada pemegang amanah saham.

“Apa yang kami boleh buat, kami boleh beritahu Caterpillar tetapi apa tindakan seterusnya bergantung kepada mereka. Kami hanya pengedar,” menurut sumber itu lagi.

BDS merupakan satu gerakan antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel dengan melobi masyarakat antarabangsa untuk memboikot, menjual saham atau kepentingan, dan menyekat produk dan perkhidmatan yang menyumbang kepada rejim Zionis.

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline