Last updated Monday, December 05, 2016 8:18 pm GMT+8

Wednesday October 19, 2016
5:30 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Seorang lelaki tidak berbaju kelihatan mengangkat cangkul ke arah kakitangan SAJ dalam satu kejadian di Kampung Melayu, Kulai, 18 Oktober 2016. — Foto ihsan Facebook/Kapten BenSeorang lelaki tidak berbaju kelihatan mengangkat cangkul ke arah kakitangan SAJ dalam satu kejadian di Kampung Melayu, Kulai, 18 Oktober 2016. — Foto ihsan Facebook/Kapten BenJOHOR BARU, 19 Okt — Polis menahan dua lelaki awal hari ini yang dipercayai menyerang pekerja SAJ Holdings Sdn Bhd semasa bertugas di hadapan sebuah rumah di Jalan Air Hitam, Kampung Melayu dekat Kulai, semalam.

Tangkapan itu susulan video insiden itu mula viral di laman sosial semalam yang menunjukkan mangsa diserang dan dipukul oleh suspek di kawasan rumah berkenaan.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pihaknya menahan suspek pertama di Jalan Indahputra kira-kira 2 pagi tadi, manakala seorang lagi suspek ditahan di Kampung Melayu pukul 3.45 pagi.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi semalam, kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 19 dan 26 tahun itu bertindak menyerang pengadu dan rakan sekerjanya yang sedang bertugas memotong bekalan air di rumah itu,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, suspek yang juga anak pemilik rumah berkenaan tidak berpuas hati selepas bekalan air dipotong dan bertindak menyerang mangsa menggunakan tangan dan topi keledar selain mengugut akan mencederakan mangsa dengan menggunakan sebatang cangkul.

Akibat daripada kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan “soft tissue injury”.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 22 Oktober depan.

Sementara itu, SAJ Holdings dalam satu kenyataan berasingan berkata pihaknya memandang serius kes itu yang menjadi viral di laman sosial dan menyerahkan kepada polis bagi menyiasat.

Ketua pegawai eksekutif SAJ Abdul Wahab Abdul Hamid berkata kedua-dua mangsa merupakan kontraktor SAJ yang dilantik dan merupakan tanggungjawab pihaknya untuk melindungi mereka mengikut Seksyen 127 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Katanya, sekiranya seseorang menghalang pemegang lesen yang diberi kuasa melaksanakan kewajipan akan diambil tindakan mengikut seksyen tersebut.

“Jika disabit kesalahan, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan SAJ sentiasa membuka ruang perbincangan dengan pelanggan untuk menangani isu berkaitan bil air bagi memudahkan kedua-dua pihak.

Abdul Wahab berkata pelanggan diingatkan untuk mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan semasa memohon bekalan air ke premis masing-masing.

Sekiranya pelanggan didapati menyalahi mana-mana peraturan, lazimnya SAJ akan mengemukakan peringatan termasuk kad merah sebagai notis pemotongan bekalan air selama 14 hari dari tarikh dikeluarkan.

“Tindakan memotong bekalan hanya akan dilakukan jika pelanggan tidak melunaskan tunggakan bil air dalam tempoh yang diberikan,” kata Abdul Wahab.

Justeru itu, pengguna bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelak insiden-insiden tidak diingini. — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline