Wednesday October 18, 2017
8:19 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Masyarakat India membuat pilihan jambangan bunga malai segar menjelang sambutan Deepavali di Little India Brickfields, 17 Oktober 2017. — Foto BernamaMasyarakat India membuat pilihan jambangan bunga malai segar menjelang sambutan Deepavali di Little India Brickfields, 17 Oktober 2017. — Foto BernamaSEREMBAN, 18 Okt — Ramai yang mengambil kesempatan membeli-belah di saat akhir bagi persiapan Deepavali yang disambut hari ini memandangkan tawaran harga yang diberikan jauh lebih murah berbanding sebelum ini.

Tinjauan Bernama di Bazar Little India, Jalan Lee Fong Yee yang terletak di pusat bandar ini mendapati kawasan itu sesak dengan pelbagai lapisan pengunjung khususnya yang beragama Hindu.

Pelbagai jenis barangan terdiri daripada juadah raya yang beraneka jenis dan koleksi baju raya boleh didapati di sini yang ditawarkan oleh 100 peniaga.

R. Sivalingam, 44, berkata beliau melakukan persiapan akhir kerana kebanyakan peniaga membuat tawaran harga murah seperti pakaian tradisional Punjabi dan sari dengan harga serendah RM65 sehingga RM90 berbanding RM150 sepasang sebelum ini.

"Kebiasaannya di saat akhir ada harga diskaun dan saat ini saya dan keluarga harus merebut peluang terbaik ini untuk membuat perbelanjaan dengan bijak," katanya di sini, semalam.

Sivalingam yang berasal dari Sungai Pelek, Sepang, Selangor berkata beliau, isteri dan empat orang anaknya sanggup meredah perjalanan sejauh 40 kilometer ke Bazzar Little India setiap tahun untuk berbelanja.

Bagi M. Logeshwaran, 54, kebiasaannya membuat persiapan Deepavali secara berperingkat.

"Saya bersama tiga orang anak, datang ke sini untuk membeli pakaian baharu, selain mencari juadah seperti maruku dan manisan yang dijual di sini untuk dijadikan hidangan kepada tetamu yang hadir ke rumah saya," katanya.

Sementara itu, peniaga maruku dan manisan K. Balarajan, 39, berkata menjadi kebiasaan bagi masyarakat di negara ini melakukan persiapan di saat-saat akhir bagi mana-mana perayaan, apatah lagi ia merupakan saat ditunggu untuk membeli-belah dengan harga yang murah.

Beliau yang sudah 15 tahun berniaga di bazar berkenaan berkata akan menawarkan potongan di saat-saat akhir bagi memastikan barangannya habis terjual dan tidak menanggung kerugian yang besar.

"Saya sebelum ini menjual manisan laddu dengan harga RM1.20 sebiji tetapi hari ini saya menjualnya dengan harga RM1 satu biji. Ini yang dikatakan setiap perayaan mesti ada harga runtuhnya, biar rugi sedikit daripada rugi banyak bila barangan tidak habis dijual," katanya. — Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline