Wednesday February 14, 2018
8:14 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Umno sudah meninggalkan sifat ultra-nasionalis dan komunalis, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.—Foto oleh Miera ZulyanaUmno sudah meninggalkan sifat ultra-nasionalis dan komunalis, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.—Foto oleh Miera ZulyanaKUALA LUMPUR, 14 Feb — Penjenamaan semula Umno yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mengubah parti itu sehingga menjadi disukai kerana pemimpinnya bersedia mendengar suara nurani rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Perdana Menteri telah merekayasa semula Umno dengan meninggalkan sifat ultra-nasionalis dan komunalis. 

“Sebagai arkitek politik yang cerdik, penjenamaan semula Umno oleh Najib bukan sekadar bersifat kosmetik, tetapi benar-benar mengubah nilai, amalan, pemikiran dan budaya Umno.

“Perlu disedari Umno disukai bukan kerana retoriknya tetapi Umno disukai kerana pemimpinnya bersedia mendengar suara nurani rakyat,” kata beliau menerusi blognya sskeruak.blogspot.my malam tadi.

Beliau berkata sebelum ini, Umno dilihat sebagai parti bersifat elitis, komunalis, konservatif, ultra-nasionalis dan autokratik yang dibelenggu amalan kepuakan dan politik wang. 

Salleh berkata ramai penganalisis politik meramalkan Umno dan Barisan Nasional bakal kehilangan kuasa sepertimana parti LDP di Jepun, Kuomintang (Taiwan), Golkar (Indonesia) dan Kongres di India.

“Tetapi itu Umno dahulu. Umno dicipta Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) mengikut pemikiran dan gaya kepimpinannya. Legasi Mahathir terlalu besar dalam Umno sehingga terbitnya istilah Mahathirisme yang cukup diingati dengan gaya pemerintahan “government knows all” yang tidak lagi relevan dengan politik kontemporari,” katanya.

Beliau  berkata pernah dahulu, selepas pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri, ada golongan menyatakannya sebagai “the return of Mahathirism.” 

“Ternyata, dakwaan tersebut meleset. Bagi Najib, “Government knows best era is over,” malah Najib memperkenalkan transformasi politik dengan menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan meminda akta-akta yang menyekat hak-hak politik rakyat.

“Beliau juga menjaga kebajikan rakyat semua kaum dan tidak lagi bersifat komunalis. Dengan transformasi ini, tidak syak lagi, Umno pimpinan Datuk Seri Najib adalah sebuah parti yang sebenar-benarnya mendukung prinsip kedaulatan rakyat,” katanya. — Bernama

Iklan

Iklan

MMO Instagram