Wednesday January 11, 2017
6:39 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Seramai 170 alumni MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin menyediakan 500 pek makanan iaitu burger berserta pek kebersihan diri kepada kumpulan gelandangan. — Foto BernamaSeramai 170 alumni MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin menyediakan 500 pek makanan iaitu burger berserta pek kebersihan diri kepada kumpulan gelandangan. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 11 Jan — "Kami lakukan ini untuk memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap golongan belia sekali gus membuktikan bahawa kami mampu menyumbang sesuatu yang positif kepada golongan memerlukan," kata Mohamed Abbas Ali Mohamed Nasir, 18.

Beliau merupakan antara 170 bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka yang terlibat dalam penganjuran program sukarelawan untuk menghulurkan sumbangan makanan dan keperluan harian kepada golongan gelandangan di sekitar Masjid Jamek, di sini semalam.

Apa yang menarik, walaupun kesemua mereka tidak bekerja dan sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka mendapat kerjasama ibu bapa mereka untuk memberikan sumbangan bagi melaksanakan program itu. 

Mohamed Abbas Ali berkata idea untuk mengadakan program itu bersama rakan-rakannya timbul selepas mahu melakukan sesuatu perkara bermanfaat sementara menunggu keputusan SPM.

Rakannya Muhammad Azri Hakim Kamarul Azizi, 18, berkata idea itu kemudian diusulkan kepada ibu bapa masing-masing yang seterusnya bersetuju menyumbangkan wang tunai bagi digunakan membeli kelengkapan serta makanan untuk diberi kepada gelandangan.

"Kami berjaya mengumpul wang sebanyak RM6,000 hasil sumbangan ibu bapa dan wang itu digunakan untuk membeli sabun mandi, ubat gigi, berus gigi, tuala kecil dan sedikit makanan bagi tujuan program.

Lebih membanggakan usaha ini berjaya menarik perhatian syarikat roti Gardenia yang menyumbang 500 bungkus roti pelbagai perisa untuk diedarkan," kata Muhammad Azri ketika ditemui sewaktu program itu.

Seorang pelajar lepasan tingkatan lima MRSM Tun Ghafar Baba mengedarkan pek makanan kepada gelandangan di sekitar Jalan Hang Lekiu semalam. — Foto BernamaSeorang pelajar lepasan tingkatan lima MRSM Tun Ghafar Baba mengedarkan pek makanan kepada gelandangan di sekitar Jalan Hang Lekiu semalam. — Foto BernamaBagi Nurul Izzah Afifah Khairuddin Helmi, 18, penganjuran program seumpama itu perlu diperbanyakkan lagi pada masa hadapan bagi menyemarakkan lagi semangat golongan muda untuk berbakti kepada masyarakat.

"Penyertaan dalam aktiviti sukarelawan ini juga akan membantu mengelakkan anak muda melakukan perkara tidak bermanfaat yang boleh merosakkan diri sendiri," katanya. 

Sementara itu, Pengetua MRSM Tun Ghafar Baba, Mohamad Anuar Mohamad Yusof berkata beliau berbangga dengan inisiatif dilakukan bekas pelajar maktab itu.

"Saya harap ini akan jadi pemangkin kepada lebih banyak program bermanfaat dianjurkan pada masa hadapan dan pihak sekolah akan sentiasa menyokong segala aktiviti membantu komuniti seperti berlangsung hari ini," katanya. — Bernama

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline