Friday May 19, 2017
6:39 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Zahid berkata BN tidak berhasrat untuk menganalisis situasi terkini di Selangor tetapi lebih berminat untuk memastikan jentera BN dimantapkan. — Foto failZahid berkata BN tidak berhasrat untuk menganalisis situasi terkini di Selangor tetapi lebih berminat untuk memastikan jentera BN dimantapkan. — Foto failSHAH ALAM, 19 Mei — Barisan Nasional (BN) perlu mengambil peluang daripada kemelut politik yang berlaku di Selangor ketika ini bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat Selangor terhadap parti itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penerimaan rakyat Selangor terhadap BN akan memudahkan usaha parti itu untuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang.

"Kita mahu BN bangkit semula daripada situasi politik sebelum ini yang telah menyebabkan terlepasnya kuasa yang pernah dipegang BN di Selangor.

Ia perlu dilakukan dengan usaha yang berterusan dan diperkukuhkan supaya rakyat punyai kebolehpercayaan yang tinggi semula kepada BN dan Umno di Selangor," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas ketetapan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam mesyuarat khas semalam, yang memutuskan tiga exco negeri Selangor kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri walaupun hubungan tahaluf siyasi dengan PKR telah ditamatkan serta merta pada 11 Mei lepas.

Perkara tersebut diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan seorang Exco selain Menteri Besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenan Sultan Selangor mengikut Perkara 53 Fasal 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. 

Tiga exco PAS itu adalah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi) serta Zaidy Abdul Talib (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan pada Selasa lepas berkata, kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Selangor akan diputuskan pimpinan PKR selepas Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali pulang dari lawatan rasmi ke luar negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno menjalankan tugas timbalan presiden parti itu berkata BN menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan kuasa di bawah Sultan Selangor.

Beliau berkata BN juga tidak berhasrat untuk menganalisis situasi terkini di Selangor tetapi lebih berminat untuk memastikan jentera BN dimantapkan rentetan perkembangan terbaru itu.

"Kita perlu lihat usaha Noh (Pengerusi BN Selangor) dan rakan pemimpin lain di peringkat bahagian untuk lakukan usaha berterusan bagi merampas semula negeri ini. 

"Saya sendiri akan selalu turun ke Selangor bagi memastikan bahawa ekosistem yang telah berubah ini harus dimantapkan oleh jentera (BN) yang ada," katanya. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline